Anthony kekal dengan pendirian letak jawatan

Iklan
Anthony Loke. Foto Bernama

HANG TUAH JAYA - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tetap dengan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berunding semula berhubung keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peletakan jawatan berkenaan tidak bermakna dirinya dan DAP menarik sokongan terhadap Anwar, sebaliknya kesemua 40 ahli Parlimen parti itu kekal teguh menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Iklan
Iklan

"Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale: Jelajah Harapan, Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini pada Khamis.

Iklan

Penegasan itu dibuat selepas Anwar pada pentas sama menyatakan hasrat untuk berunding semula dengan Anthony berhubung peletakan jawatan tersebut, malah secara berseloroh membenarkannya bercuti sementara waktu.

Anthony pada Selasa memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Iklan

Anthony berkata, pendirian untuk meletakkan jawatan itu sudah dimaklumkan lebih awal, iaitu hampir tujuh minggu sebelum keputusan mahkamah berkenaan.

"Perkara ini sudah saya umumkan hampir tujuh minggu sebelum ini. Saya kata, Najib balik rumah, saya satu minit pun takkan tunggu, terus berkuat kuasa.

"Saya cakap saya akan buat, saya akan buat. Ini soal kita cakap serupa bikin," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Anthony menolak dakwaan bahawa tindakan meletakkan jawatan itu tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya menegaskan pendirian DAP berkenaan ditujukan khusus terhadap isu Najib.

"Saya hendak tegaskan ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong, tetapi berkenaan dengan Najib," jelasnya.