Lelaki tetak anggota polis dipercayai alami gangguan mental

Iklan
Shazeli - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Tindakan agresif seorang lelaki warga asing yang menyerang dan menetak anggota polis menggunakan parang di sebuah pangsapuri di Kepong pada Rabu dipercayai berpunca daripada gangguan mental.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu berdasarkan laporan seorang kenalan suspek yang memaklumkan bahawa lelaki berkenaan mengalami gangguan mental dan bertindak mengamuk di kediamannya.

Iklan
Iklan

"Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), termasuk pemeriksaan di kediaman lelaki berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Bagaimanapun, punca yang menyebabkan gangguan mental itu masih dalam siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Mengulas dakwaan mengenai keadaan di lokasi kejadian yang menyukarkan anggota polis mengelak serangan, Shazeli berkata, ruang yang sempit serta kehadiran beberapa agensi lain menjadi cabaran ketika operasi dijalankan.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menjadi panduan, namun keputusan untuk bertindak ketika berdepan situasi genting bergantung pada penilaian anggota polis terbabit.

Iklan

"Keadaan premis kediaman tersebut agak sempit, dengan kehadiran beberapa agensi sahabat yang menyukarkan beberapa tindakan yang sepatutnya diambil.

"Justeru, mungkin dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis berkenaan terkena tetakan pada pergelangan tangan kanannya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun parah selepas ditetak lelaki warga asing berkenaan.

Shazeli dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.

Menurutnya, sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki yang berada di dalam rumah tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota yang berada di hadapan pintu.

Katanya, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang polis menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan.

Tembakan itu hanya mencederakan suspek. Suspek kemudian dibawa pihak polis ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia.

Mengulas lanjut, Shazeli berkata, pihak polis sentiasa melaksanakan latihan dalam perkhidmatan serta kursus ulang kaji SOP secara berkala setiap tahun bagi memastikan anggota bersedia menghadapi pelbagai situasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, bedah siasat terhadap suspek akan dilaksanakan pagi ini.

Shazeli berkata, lebih 20 saksi yang terdiri daripada jiran, penghuni pangsapuri serta kenalan si mati telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Kita juga akan merakam keterangan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan," katanya.