Suka-suka bertukar duka

Iklan
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang dalam insiden kepala air di Lata Jebus, Air Terjun Sungai Pertak di Kampung Pertak. Foto Bernama

AKTIVITI mandi-manda di sungai, berkelah bersama keluarga atau meluangkan masa bersama rakan-rakan di kawasan rekreasi sememangnya antara pilihan ramai untuk merehatkan minda selepas penat bekerja dan belajar.

Apatah lagi apabila cuaca kelihatan cerah, air sungai jernih dan suasana persekitaran begitu mendamaikan.

Iklan
Iklan

Siapa sangka, percutian yang pada awalnya bertujuan untuk berseronok dan meluangkan masa bersama keluarga ataupun rakan-rakan akhirnya bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa.

Itulah yang berlaku dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor apabila lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras secara tiba-tiba ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.

Iklan

Lebih memilukan, lima mangsa ditemukan meninggal dunia, manakala usaha mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang diteruskan pasukan penyelamat.

Sepanjang 14 tahun bergelar wartawan, penulis telah membuat liputan pelbagai kejadian yang bermula dengan aktiviti suka-suka, namun akhirnya bertukar menjadi tragedi.

Iklan

Ada yang keluar beriadah untuk mengisi masa lapang, bercuti bersama keluarga atau sekadar menikmati keindahan alam, tetapi pulang dengan berita yang tidak pernah dijangka.

Setiap kejadian seumpama ini mengingatkan bahawa bahaya boleh berlaku pada bila-bila masa, malah ketika kita merasakan keadaan cukup selamat.

Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa dipercayai tidak menyangka ancaman kepala air boleh berlaku dalam keadaan cuaca yang kelihatan baik.

Pengalaman pelajar warga Yemen yang juga mangsa terselamat, Muhammad, 19, seperti dilaporkan media, menceritakan keadaan ketika itu tidak hujan dan tiada tanda-tanda awal yang disedari sebelum arus deras tiba-tiba melanda lalu menghanyutkan rakan-rakannya.

Situasi ini menunjukkan bahaya kepala air bukan sesuatu yang boleh dinilai berdasarkan keadaan cuaca di lokasi seseorang berada semata-mata.

Hujan lebat di kawasan hulu sungai boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak walaupun kawasan rekreasi berkenaan masih cerah.

Keadaan ini menjadikan aktiviti rekreasi air berisiko, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya membawa hujan lebat dan berterusan.

Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut berdepan cabaran apabila pasukan penyelamat perlu melakukan pencarian dalam keadaan arus deras serta kawasan sungai yang berisiko.

Sehubungan itu, nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya orang ramai menangguhkan aktiviti rekreasi air sepanjang MTL perlu dipandang serius.

Apatah lagi, cuti sekolah tidak lama lagi pastinya mendorong ramai ibu bapa merancang percutian bersama anak-anak, termasuk mengunjungi sungai, air terjun dan kawasan perkhemahan.

Dalam keterujaan merancang percutian, aspek keselamatan tidak boleh diketepikan.

Ibu bapa perlu memastikan destinasi yang dipilih selamat, menyemak ramalan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Jangan sesekali menganggap air sungai yang jernih dan tenang sebagai petunjuk bahawa kawasan itu bebas daripada bahaya.

Perubahan warna air, peningkatan paras air secara mendadak, sampah atau ranting yang hanyut serta bunyi deruan air yang semakin kuat perlu dianggap sebagai tanda amaran.

Jika terdapat sebarang perubahan luar biasa, segera tinggalkan kawasan sungai dan bergerak ke tempat tinggi.

Jangan tunggu sehingga air semakin deras sebelum mengambil tindakan.

Utamakan keselamatan kerana setiap percutian sepatutnya berakhir dengan kenangan manis, bukannya tangisan.