HULU SELANGOR - Kepala air yang sekali lagi berlaku pada Rabu susulan hujan lebat antara cabaran dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa tragedi di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, keadaan itu menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan pemeriksaan dan pencarian di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, keadaan beberapa lubuk sungai yang agak dalam turut menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat dalam usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
"Hujan lebat semalam menyebabkan kejadian kepala air sekali lagi berlaku di kawasan berkenaan.
"Selain itu, terdapat kawasan lubuk yang agak dalam dan keadaan itu turut menyukarkan usaha pencarian," katanya dalam sidang media perkembangan operasi SAR di sini pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan enam daripada lapan mangsa tragedi kepala air itu ditemukan, manakala dua lagi masih hilang setakat Khamis.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga asing dari Yaman, Sri Lanka, Nepal serta India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.
Katanya, operasi SAR yang memasuki hari keempat itu melibatkan kira-kira 108 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Sebanyak empat bot digunakan dalam operasi hari ini, selain bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Udara PDRM yang menggunakan dron bagi memperluas pemantauan dari udara," katanya.
Mengulas mengenai penemuan mangsa keenam, Manimaran berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira jam 10.30 pagi Khamis di kawasan muara sungai berhampiran Jambatan Pertak.
Jelasnya, lokasi penemuan mayat itu terletak kira-kira 1.3 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman identiti.
"Setakat ini, seorang mangsa lemas yang juga warga tempatan telah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian, manakala lima lagi mayat masih belum diserahkan kerana proses bedah siasat dan pengecaman identiti," katanya.
Sementara itu, Ketua JBPM Zon Rawang, Mustakim Rimon berkata, operasi pencarian turut menggunakan kaedah 'snif and dive' yang dilaksanakan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Unit Anjing Pengesan menggunakan bot penyelamat.
Beliau berkata, pasukan penyelamat turut menjalankan pencarian di satu kawasan di Sektor A selepas menerima maklumat daripada seorang penduduk Orang Asli yang terhidu bau dipercayai daripada mayat ketika melalui lokasi berkenaan selepas pulang dari kebun.
"Pemeriksaan dan pencarian di lokasi tersebut bagaimanapun tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.
"Operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu Sektor A hingga D meliputi kawasan Lata Jebus hingga sekitar Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor dan pencarian seterusnya akan difokuskan di Sektor C," katanya.