CEO Nvidia bakal dipecat?

Iklan
Antara foto Huang bersama Alice yang tersebar sejak kontroversi hubungan sulit beliau terbongkar pada akhir minggu lalu. - Foto Agensi

SAN FRANCISCO - Lembaga pengarah (BoD) Nvidia dilaporkan sedang meneliti kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang susulan kontroversi yang tercetus berhubung dakwaan menjalinkan hubungan sulit dengan dua wanita.

Menurut laporan Reuters pada Khamis, mesyuarat tersebut berlangsung ketika syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terbesar di dunia itu berdepan tekanan susulan pendedahan skandal Huang.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, BoD menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Huang setelah ia turut mengumumkan siasatan bebas, namun perkembangan terbaharu menunjukkan masa depan beliau kini menjadi perkara yang perlu dipertimbangkan demi masa depan firma itu. Di bawah peraturan syarikat, Huang boleh disingkirkan melalui undian majoriti BoD yang dibarisi 11 ahli.

Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan Nvidia sedang membuat persiapan untuk menyingkirkan Huang, 63, setelah salah seorang kekasih gelapnya didakwa sebagai 'ejen perisik' China, namun dinafikan Beijing.

Iklan

Kisah kehidupan peribadinya mula mendapat perhatian meluas selepas Huang mengakui berlaku curang terhadap isterinya menerusi satu memo kepada kakitangan firma itu pada Ahad lalu tanpa memperincikan hubungan tersebut.

Dakwaan pertama membabitkan Alice Huang, seorang ahli perniagaan yang pernah dikaitkan dengan syarikat Megaspeed International berpusat di Singapura. Wanita itu turut berada dalam radar agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan terlibat dalam usaha menyalurkan cip Nvidia kepada syarikat di Beijing, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya kegiatan perisikan asing.

Iklan

Taiwan mengesahkan wanita warga China itu pernah memasuki negara itu sebanyak lapan kali menggunakan pasport Hong Kong pada 2024 dan 2025.

Pihak berkuasa Taipei kini meneliti rekod kemasukan Alice dan prosedur keselamatan imigresen bagi memastikan sama ada terdapat kelemahan dalam proses pemeriksaan yang membolehkannya memasuki negara itu menggunakan dokumen perjalanan Hong Kong tersebut.

Sementara itu, The New York Times melaporkan Huang turut mempunyai hubungan terlarang dengan Kimberly Powell yang merupakan Naib Presiden Nvidia bagi sektor penjagaan kesihatan di bawah seliaannya. Laporan itu dikatakan memetik sumber dalaman, namun ia belum disahkan. - Agensi