Skandal intip Prabowo: Bukti awal wujud unsur khianat

Iklan
Jokowi (kiri) dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang suspek, Listyo yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Staf Presiden di bawah pentadbiran Prabowo. - Foto Agensi

JAKARTA – Polis Indonesia mendakwa mempunyai bukti awal mencukupi untuk meneruskan siasatan terhadap empat individu berhubung dakwaan pengintipan komunikasi Presiden Prabowo Subianto termasuk dakwaan kemungkinan wujud unsur pengkhianatan

Perkembangan itu diumumkan Ketua Polis Nasional (Polri), Suyudi Ario Seto ketika memberi keterangan kepada anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada Khamis

Iklan
Iklan

Menurut laporan Reuters dan Associated Press (AP), siasatan itu melibatkan empat pegawai kanan polis termasuk bekas Ketua Polis, Listyo Sigit Prabowo yang dipecat daripada jawatan Ketua Staf Presiden.

Suyudi memaklumkan bahawa aktiviti pengawasan secara haram itu turut melibatkan pegawai kerajaan, anggota DPR, ahli politik, gabenor, aktivis antirasuah dan pelajar.

Iklan

Siasatan awal mendapati operasi pemintasan komunikasi itu dipercayai berlaku antara 2025 hingga 2026 ketika Listyo masih mengetuai Polri.

Beberapa rakaman perbualan telefon Prabowo telah dipadamkan sebagai cubaan menghapuskan bukti setelah kegiatan mereka terbongkar.

Iklan

Bagi membantu siasatan, pihak berkuasa merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu USB yang dipercayai mengandungi maklumat berkaitan operasi tersebut.

Polis kini berusaha mengenal pasti pihak yang mengarahkan tindakan pengintipan itu termasuk motif sebenar di sebalik operasi tersebut.

Sementara itu, jurucakap penyiasat Asep Safrudin berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara intensif bagi memperkukuh kes berkenaan sebelum menentukan pertuduhan yang bersesuaian termasuk berkaitan pengkhianatan dan pemintasan komunikasi tanpa kebenaran.

Kes itu turut mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan akses kepada maklumat sulit negara kerana skandal menggemparkan tersebut turut melibatkan pemimpin tertinggi.

Pelbagai spekulasi turut timbul kerana Listyo mempunyai hubungan rapat dengan bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang melantiknya sebagai Ketua Polis Negara pada 2021.

Namun, setakat ini pihak berkuasa belum mengesahkan sebarang penglibatan Jokowi dalam operasi tersebut meskipun skandal itu mendedahkan ketegangan hubungan antara beliau dengan Prabowo. - Agensi