PERTH – Malaysia terus memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa apabila terlibat dalam penilaian berkala terhadap sistem akreditasi kejuruteraan Australia menerusi Perjanjian Dublin (Dublin Accord) di bawah International Engineering Alliance (IEA).
Penglibatan itu menyaksikan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bersama pakar akreditasi dari Korea Selatan dan Afrika Selatan menjalankan penilaian terhadap amalan akreditasi Engineers Australia berdasarkan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.
Malaysia diwakili Pengarah Jabatan Akreditasi Kejuruteraan LJM, Ir Zairul Amri Zakaria, yang menganggotai panel penilaian bersama Profesor Young Bok Joo dari Accreditation Board for Engineering Education of Korea (ABEEK), Korea Selatan dan Ms Tirhani Nkuna dari Engineering Council of South Africa (ECSA), Afrika Selatan.
Sepanjang penilaian yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 6 November 2026 itu, panel turut mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan Engineers Australia, termasuk Presiden Kebangsaan dan Pengerusi Lembaga, Tom Goerke; Eksekutif Kumpulan bagi Standard Profesional dan Amalan Kejuruteraan, Bernadette Foley; serta Ketua Akreditasi, Dr Helen Fairweather.
Pertemuan itu membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik serta perbincangan mengenai perkembangan terkini dalam bidang pendidikan dan akreditasi teknologi kejuruteraan.
Dr Helen turut menyelaras sesi libat urus panel serta pemerhatian terhadap pelaksanaan proses akreditasi di institusi pendidikan terpilih.
Penilaian berkenaan merangkumi penelitian terhadap kriteria, dasar, prosedur dan proses membuat keputusan berkaitan akreditasi yang dilaksanakan oleh Engineers Australia.
Panel turut membuat pemerhatian secara langsung terhadap lawatan akreditasi di dua institusi pendidikan iaitu RMIT University, Melbourne dan South Metropolitan TAFE (Technical and Further Education), Perth.
Di RMIT University, panel mengikuti proses lawatan akreditasi berterusan yang membabitkan lima program Diploma Lanjutan Pendidikan dan Latihan Vokasional (VET) serta lima program Ijazah Bersekutu Pendidikan Tinggi (HE).
Sementara itu, South Metropolitan TAFE merupakan institusi awam yang memberi tumpuan kepada pendidikan teknikal dan vokasional.
Pemerhatian itu membolehkan panel memahami secara lebih mendalam pelaksanaan sistem akreditasi Engineers Australia, termasuk amalan penilaian dan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan.
Hasil penilaian berkala berkenaan dijangka dibentangkan untuk pertimbangan dalam Mesyuarat IEA di Bali, Indonesia pada Jun 2027.
Penglibatan terbaharu itu meneruskan peranan aktif Malaysia dalam aktiviti bimbingan dan penilaian akreditasi di peringkat antarabangsa.
Sumbangan LJM dalam bidang berkenaan turut mendapat pengiktirafan ketika Mesyuarat IEA di Cape Town, Afrika Selatan pada Jun 2026.
Sebelum ini, Malaysia turut terbabit dalam aktiviti bimbingan dan penilaian akreditasi membabitkan Peru, Hong Kong serta United Kingdom.
Mengulas kepentingan kerjasama antarabangsa itu, Zairul Amri berkata, pengiktirafan antarabangsa dibina berasaskan kepercayaan bersama dan tanggungjawab kolektif antara negara penandatangan.
“Sebagaimana Malaysia terlibat dalam menilai sistem akreditasi negara lain, sistem akreditasi negara kita juga tertakluk kepada penelitian antarabangsa yang sama.
Malaysia menjadi penandatangan penuh Perjanjian Dublin pada 2018, iaitu perjanjian yang diwujudkan pada 2002 bagi mengiktiraf kesetaraan hasil pembelajaran graduan program pendidikan juruteknik kejuruteraan yang diakreditasi negara penandatangan.
Kesetaraan itu dinilai berdasarkan kerangka IEA Graduate Attributes and Professional Competencies (GAPC) yang menetapkan penanda aras antarabangsa dari aspek pengetahuan, kemahiran dan kompetensi graduan juruteknik kejuruteraan.
Walaupun pendekatan pendidikan dan struktur program berbeza mengikut negara, graduan perlu memenuhi hasil pembelajaran yang ditetapkan di bawah perjanjian berkenaan.
Menerusi Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) di bawah LJM, sebanyak 303 program di 84 institusi pengajian tinggi (IPT) telah memperoleh akreditasi berdasarkan kerangka Perjanjian Dublin.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan standard pendidikan kejuruteraan negara terus memenuhi penanda aras antarabangsa.
Bagi graduan juruteknik kejuruteraan Malaysia, pengiktirafan berkenaan dapat memperkukuh kedudukan kelayakan akademik mereka di peringkat antarabangsa, selain menyokong mobiliti kerjaya dan peluang pembangunan profesional di negara penandatangan.
Bagaimanapun, peluang berkenaan tertakluk kepada syarat pendaftaran profesional serta peraturan pekerjaan yang ditetapkan oleh negara masing-masing.
Penyertaan LJM dalam penilaian rakan setara antarabangsa itu turut memperkukuh komitmen Malaysia untuk mengekalkan sistem akreditasi yang berwibawa dan diyakini, selain membolehkan pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh dimanfaatkan bagi menambah baik pendidikan kejuruteraan dan pembangunan bakat kejuruteraan masa hadapan negara.