Badan Peguam fail semakan kehakiman cabar tahanan rumah Najib

Iklan
Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan berkaitan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR — Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan berkaitan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Permohonan itu dikemukakan Selasa lalu menerusi firma Amir & Rajpal Ghai, dengan meletakkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama.

Iklan
Iklan

Tiga lagi responden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (tidak diwakili) dan Najib.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Badan Peguam selaku pemohon tunggal menuntut kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi bagi membatalkan prosiding, keputusan dan aturan tahanan rumah yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun, pada 18 September.

Iklan

Badan itu memohon aturan tahanan rumah yang dilaporkan berkenaan, sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Badan itu juga memohon perintah 'certiorari' untuk mengetepikan dan membatalkan keputusan serta prosiding yang berkaitan dengan aturan tersebut.

Iklan

Sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman, badan itu memohon pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan, ditangguhkan serta-merta, sekiranya kebenaran diberikan.

Pemohon mengemukakan beberapa alasan kukuh bagi mencabar keabsahan keputusan berkenaan, antaranya menyifatkan tindakan tersebut sebagai ultra vires atau di luar bidang kuasa dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon berhujah bahawa, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kuasa pengampunan dan penggantungan, bukannya membenarkan variasi cara pelaksanaan hukuman penjara seperti tahanan rumah.

Selain itu, pihak pemohon menegaskan bahawa, mekanisme tahanan rumah tidak diiktiraf atau diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang jenayah di Malaysia.

Mereka turut merujuk kepada keputusan terdahulu Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan yang memutuskan, perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan ekoran ketiadaan mekanisme undang-undang yang sah.

Pemohon turut membangkitkan isu ketidakrasionalan dan ketidakadilan, dengan mendakwa aturan tersebut mencabuli prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana memberikan keutamaan serta layanan istimewa berbanding banduan lain.

Pihak pemohon turut menekankan aspek 'disproportionality' dengan mendakwa pemberian kemudahan tambahan itu tidak seimbang memandangkan kesalahan jenayah berskala besar yang dilakukan mempunyai kesan buruk yang berpanjangan terhadap ekonomi negara serta keyakinan pelabur.

Pemohon mendakwa, responden gagal mengambil kira faktor relevan, termasuk kewujudan sabitan kes lain yang dihadapi iaitu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta ketiadaan elemen penyesalan dalam permohonan sbaliknya mengambil kira faktor yang tidak wajar seperti pengaruh politik.

Berdasarkan sistem kehakiman, pendengaran permohonan berkenaan dibuat di hadapan Hakim, S Indra Nehru pada Khamis.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.

Empat hari kemudian iaitu pada 10 November, Najib akhirnya pulang ke kediamannya di Langgak Duta di sini pada Selasa bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.

Pada 18 September lalu, beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.