HULU SELANGOR - Sebanyak 14 lokasi rekreasi di daerah Hulu Selangor dikenal pasti berisiko berlaku kejadian kepala air dengan Sungai Pertak, Sungai Siling dan Sungai Batang Kali menjadi tiga lokasi hotspot utama.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, Sungai Batang Kali merekodkan empat insiden kepala air diikuti Sungai Chiling (tiga) dan Sungai Pertak (dua).
"Daripada sembilan kejadian kepala air yang direkodkan di tiga lokasi itu, hanya insiden di Sungai Pertak melibatkan mangsa manakala kejadian lain tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan JBPM di Jambatan Pertak di sini pada Rabu.
Ashrul Riezal berkata, 11 lokasi lain yang turut dikenal pasti berisiko ialah Lata Medang di Kuala Kubu Bharu, Sungai Inki (Ingki) di Kalumpang dan River View Sungai Bernam di Hulu Selangor.
"Lokasi lain ialah Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Batang Kali, Sungai Cilin di Kuala Kubu Bharu serta Sungai Pinang di Batang Kali.
"Turut disenaraikan ialah Air Terjun Serendah di Serendah, Air Terjun Semangkuk dan Sungai Liam di Hulu Selangor," katanya.
Ashrul Riezal berkata, susulan Monsun Timur Laut, JBPM menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara aktiviti rekreasi air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Langkah itu diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pengunjung mengenai bahaya kepala air, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim berkenaan," katanya.
Terdahulu, JBPM memberi peringatan kepada orang ramai untuk menangguhkan sebarang aktiviti rekreasi air termasuk mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
JBPM dalam kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca tidak menentu dan kejadian hujan lebat berterusan di beberapa kawasan berpotensi menyebabkan peningkatan paras air secara mendadak, arus deras, fenomena kepala air yang boleh mengancam keselamatan serta meragut nyawa.