SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada Sabtu memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, ia bagi memohon ampun dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International.
Iklan
Iklan
"Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB)," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintahnya.
Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan sambil menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas ahli Parlimen Pekan terbabit.
Jelas AGC, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.