KUALA LUMPUR - Penduduk di kawasan rendah dan persisiran di Selangor diminta berwaspada susulan jangkaan fenomena air pasang besar dengan paras air boleh mencecah hingga 5.2 meter esok.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, jangkaan itu berdasarkan ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan bacaan paras air di Klang hari ini direkodkan pada 5.1 meter.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan pertembungan aliran air dari kawasan Sungai Buloh dan Ijok dengan fenomena air pasang, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
"Justeru, kami meminta penduduk yang berada di kawasan persisiran dan kawasan rendah seperti sekitar Kuala Selangor supaya sentiasa berwaspada dan membuat persediaan awal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ashrul Riezal ketika mengulas mengenai banjir di Kampung Melayu Subang hari ini berkata kenaikan paras air di kawasan itu dipercayai berpunca daripada limpahan sistem perparitan di kawasan berkenaan, bukannya fenomena air pasang besar.
Beliau berkata, JBPM Selangor belum menerima laporan baharu berhubung kejadian itu, namun pemantauan terus dilakukan bagi memastikan sebarang keperluan bantuan dapat disalurkan segera.
Sementara itu, hantaran dikongsi pengguna media sosial memaparkan Kampung Melayu Subang sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang ini, dengan kawasan perumahan dinaiki air sehingga menenggelamkan sebahagian halaman dan laluan kediaman penduduk.
Seorang pengguna Threads, Nurul Azuwana mendakwa paras air meningkat selepas hanya kira-kira 20 minit hujan manakala seorang lagi pengguna hyenarawr1 mendakwa kejadian itu adalah banjir kilat ketiga melanda kawasan berkenaan minggu ini.
Pada 2 November lepas, kira-kira 92 rumah di empat kawasan di Kampung Melayu Subang, iaitu Lorong Merbau, Jalan Cengal, Jalan Resak dan Jalan Jati dilaporkan terjejas akibat banjir. - Bernama