'Anthony Loke biadab, semua pemimpin DAP patut letak jawatan jika berprinsip' - Noh Omar

Iklan
Noh Omar.

SHAH ALAM - Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan yang bakal berkuat kuasa sebaik Datuk Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki di rumahnya disifatkan sebagai biadab.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan, tetapi juga mengingkari titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Iklan
Iklan

Menurut Noh, jika menteri dan timbalan menteri dalam kalangan DAP mempunyai prinsip, kesemuanya patut meletak jawatan yang disandang dalam Kabinet, menarik sokongan serta keluar daripada Kerajaan Madani.

"Sewajarnya beliau (Anthony) mengetahui bahawa wakil DAP juga ada di dalam Lembaga Pengampunan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Iklan

"Terbukti jelas pemimpin DAP ini biadab dan hendak menjadi hero tidak bersetuju dengan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong sehingga sanggup meletak jawatan sebagai Menteri bagi Kerajaan Madani.

"Saya amat menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah kepada Najib diteruskan setelah bayaran RM50 juta dilunaskan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

UMNO pada Jumaat mengumumkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi.

Parti itu turut mengesahkan semua proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai dilakukan.usulan itu, Anthony dalam sidang akhbar tergempar menegaskan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri itu menjejakkan kaki ke kediamannya di Langgak Duta.

Menurut Anthony, pendiriannya untuk meletak jawatan tidak berubah meskipun pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Parlimen Pekan itu telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Terkini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintahnya.

Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.

Tidak lama kemudian, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan sambil menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib.

Jelas AGC, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.