Portal Jodoh Darul Iman satukan Mohd Arabi, Siti Nur Fatimah

Iklan
Mohd Arabi (dua dari kanan) dan Siti Nur Fatimah diraikan sempena Majlis Perkahwinan Perdana peringkat negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Portal Jodoh Darul Iman menjadi titik permulaan ikatan suci buat Mohd Arabi Abd Somat dan isterinya, Siti Nur Fatimah Muhd Zin yang diraikan dalam Majlis Perkahwinan Perdana peringkat negeri Terengganu, di sini.

​Mohd Arabi, 58, berkata, keputusannya mendaftar dalam portal berkenaan tahun lalu membawa sinar baharu selepas kematian isteri terdahulu.

Iklan
Iklan

​Beliau yang bekerja sendiri dan menetap di Tok Jembal, di sini mempunyai empat anak dan pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini.

"Saya bersyukur kerana pertemuan saya dengan Siti Nur Fatimah, 48, yang bertugas sebagai kakitangan madrasah adalah sebagai ketentuan takdir yang telah ditetapkan.

Iklan

​"Pada mulanya selepas diberitahu mengenai adanya portal cari jodoh Darul Iman, saya cuba daftar nama dalam portal. Setelah buat pilihan dan daftar tahun lepas, tahun ini jumpa jodoh.

​"Pertemuan pun tak panjang. Jumpa setelah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) pertemukan, lepas itu kami teruskan perhubungan dengan bercerita mengenai keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Iklan

Maliaman (kiri) beramah mesra bersama pasangan pengantin baharu yang bertemu jodoh menerusi Portal Jodoh Darul Iman, Mohd Arabi dan Nur Fatimah.

Katanya, apa yang lebih menggembirakan apabila pihak YPK turut menawarkan pakej walimatul urus percuma menerusi program perkahwinan perdana berkenaan, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

​"Dengan adanya bantuan daripada kerajaan, ia dapat menjimatkan kos dari segi pakaian dan tempat. Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri.

​"Kami nampak kecaknaan kerajaan negeri ini dan bagus diteruskan supaya yang lain-lain, mungkin ada masalah kewangan, dapat dibantu untuk walimatul urus perdana ini," ujarnya yang mengaku bersyukur kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak turut memudahkan urusan perkahwinan mereka.

​Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, majlis perkahwinan perdana bagi siri kali ini melibatkan seramai 193 pasangan dari seluruh Terengganu.

​Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai sembilan pasangan terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk golongan bisu yang menggunakan bahasa isyarat, yang disifatkan sebagai satu perkembangan menarik untuk diraikan.

​"Di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sahaja, ia melibatkan 59 pasangan dengan 27 daripadanya dari Kuala Nerus manakala selebihnya dari Kuala Terengganu yang berlangsung di Dewan Kuala Nerus ini," jelasnya.

​Mengulas lanjut mengenai penganjuran program tersebut, Maliaman berkata, walaupun peruntukan yang dikeluarkan agak besar iaitu melebihi RM1.2 juta, ia amat berbaloi kerana ia benar-benar membantu rakyat.

​"Rakyat kita ini kadang-kadang ada yang memikirkan nak sembelih lembu tak ada duit lagi, nak cat rumah, nak buat kenduri pun tak ada duit. Jadi kerajaan bantu rakyat untuk mempercepatkan proses perkahwinan.

​"Menariknya, sesi perkahwinan tahun ini ada yang berkahwin adalah hasil daripada pertemuan menerusi Portal Jodoh Darul Iman yang kita lancarkan," katanya.

​Beliau berkata, setakat ini seramai 3,900 individu telah mendaftar dalam portal berkenaan dengan lebih 300 pasangan berjaya dipadankan, selain 10 pasangan telah melangsungkan perkahwinan.

"Seperti tahun-tahun sudah, program ini akan diteruskan pada tahun hadapan bagi membantu lebih ramai rakyat negeri ini mendirikan rumah tangga," ujarnya.