SHAH ALAM - Selepas lebih 10 tahun membawa haluan masing-masing, dua sahabat lama akhirnya dipertemukan semula dalam keadaan tidak disangka apabila terbabit dalam kemalangan kecil di persimpangan lampu isyarat di Kapar, Klang.
Pertemuan tidak diduga itu berlaku apabila kereta dipandu Luqmanul Haqim Mat Desa, 33, dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan dipandu sahabat lamanya yang dikenali sebagai Anang, Isnin lalu.
Pada mulanya, kedua-dua lelaki itu tidak menyedari mereka sebenarnya saling mengenali sehinggalah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum spontan berpelukan sebaik mengenali antara satu sama lain.
Aksi spontan dua sahabat itu turut menarik perhatian pengguna jalan raya lain sebelum rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian berkenaan tular di media sosial.
Menceritakan kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Luqmanul Haqim berkata, dia bersama ibu dan isterinya dalam perjalanan pulang ke Klang selepas membeli barangan niaga sambal di Setia City Mall, Shah Alam.
"Ketika itu saya sedang berhenti di lampu isyarat merah sebelum tiba-tiba sebuah kereta melanggar belakang kereta saya.
"Memang terkejut sebab ini kali pertama kereta saya dilanggar. Apabila keluar untuk melihat keadaan kereta, tiba-tiba pemandu yang melanggar saya terus memanggil nama saya. Rupa-rupanya dia Anang, kawan lama yang sudah lebih 10 tahun saya tidak jumpa," katanya.
Suami kepada penyanyi Fatin Husna Ibrahim itu berkata, sebaik mengenali individu yang melanggarnya, dia spontan memeluk sahabat lamanya itu kerana tidak menyangka mereka dipertemukan semula dalam situasi berkenaan.
"Anang pun tidak tahu kereta yang dilanggarnya kereta saya.
"Bila saya keluar, baru dia kenal. Saya pun terkejut sebab tidak sangka boleh jumpa semula dalam keadaan macam itu," katanya.
Menurutnya, Anang ketika itu dalam perjalanan membawa bapanya ke bank bagi menguruskan urusan umrah sebelum secara tidak sengaja melanggar keretanya selepas tersilap meletakkan gear pada kedudukan memandu (D) ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Katanya, Anang beberapa kali memohon maaf atas kejadian itu, manakala dia turut berbuat demikian sebelum kedua-duanya bersetuju menyelesaikan perkara berkenaan secara baik.
"Kereta saya ada tiga bahagian kemik. Saya minta dia cari bengkel sesuai dan dia janji akan selesaikan semuanya.
"Alhamdulillah semuanya sudah selesai secara baik dan kereta saya pun sudah dihantar ke bengkel," katanya.
Mengimbas persahabatan mereka, Luqmanul Haqim berkata, Anang ialah rakannya ketika zaman bujang dan mereka sering meluangkan masa bersama dengan melakukan aktiviti bermotosikal, bersiar-siar serta makan bersama.
Bagaimanapun, hubungan mereka semakin renggang selepas dia mendirikan rumah tangga sehingga akhirnya terputus hubungan.
"Dulu kami memang selalu berjumpa, kadang-kadang dalam sebulan tujuh hingga lapan kali juga. Tetapi sejak saya berkahwin, memang lama tidak jumpa.
"Bagi saya, ada hikmah di sebalik kejadian ini kerana dapat bertemu semula dengan kawan lama, malah kami sempat bertukar nombor telefon selepas sekian lama terputus hubungan," katanya.
Luqmanul Haqim berkata, dia tidak menyangka perkongsiannya mengenai insiden berkenaan di TikTok mendapat perhatian ramai sehingga tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.