'Saya nak pegang kaki ibu, minta ampun sempena Deepavali'

Iklan
Rosman (tiga dari kanan) menyambut banduan yang diberikan pengampunan oleh Sultan Nazrin di Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia Batu Gajah, Ipoh pada Jumaat.

IPOH – Pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda memberi peluang kepada sebahagian daripada 58 banduan terpilih untuk menikmati sambutan Deepavali bersama keluarga selepas dibebaskan lebih awal menerusi program Pembebasan Awal Pengampunan Negeri Perak pada Jumaat.

Peluang itu cukup bermakna buat mereka yang sebelum ini terpaksa melupakan kemeriahan perayaan berkenaan selama beberapa tahun ketika menjalani hukuman di Pusat Koreksional Jabatan Penjara Malaysia Batu Gajah.

Iklan
Iklan

Bagi Siva (bukan nama sebenar), 36, pembebasan awal itu bukan sahaja membolehkannya menyambut Deepavali bersama keluarga malah berpeluang meraikan ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-73 pada 8 November ini.

Dia yang ditahan sejak 2023 atas kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepatutnya dibebaskan pada 8 Disember depan.

Iklan

Siva yang berasal dari Teluk Intan berkata, dia amat bersyukur kerana dapat pulang lebih awal selepas tiga tahun tiga bulan tidak menyambut Deepavali bersama keluarga.

"Memang gembira sebab saya mahu bersama keluarga dan sambut Deepavali. Saya juga mahu jumpa emak dan minta maaf kepadanya kerana selama ini banyak menyakitkan hati dia.

Iklan

"Saya mahu pegang kaki emak dan minta maaf. Saya janji tidak akan mengulangi kesalahan berkaitan dadah kerana tidak mahu terus keluar masuk penjara," katanya.

Siva bersyukur dan menjunjung kasih atas pengampunan Sultan Nazrin yang membolehkannya menyambut Deepavali bersama keluarga di rumah.

Menurutnya, dia turut tidak sabar menikmati masakan ibunya termasuk kari kambing, kari sayur dan ikan pari sambal yang sudah dirancang untuk hidangan keluarga.

Sementara itu, Rajan (bukan nama sebenar), 33, dari Taiping berkata, peluang dibebaskan lebih awal membolehkannya menyambut Deepavali bersama keluarga selepas empat tahun tidak berpeluang berbuat demikian.

Dia yang ditahan pada 30 Disember 2022 atas kesalahan sama sepatutnya menamatkan hukuman pada 2 Disember ini.

"Saya terkejut apabila tiba-tiba dipanggil dan dimaklumkan akan dibebaskan. Saya berterima kasih kepada Sultan Perak kerana memberikan peluang ini.

"Saya mahu berubah dan tidak mahu masuk penjara lagi. Sepanjang berada di sini, saya banyak belajar termasuk kemahiran vokasional, bengkel jahitan dan mengikuti ceramah agama," katanya.

Rajan berkata, dia turut merancang untuk menikmati kari kambing dan muruku selain mengunjungi kuil serta menunaikan sembahyang bersama keluarga sempena Deepavali.

Seorang lagi, Alif (bukan nama sebenar), 28, yang berasal dari Kuala Kangsar pula menyifatkan pembebasan awal itu sebagai peluang kedua untuk membina kehidupan lebih baik.

Dia yang ditahan sejak 2023 atas kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 39C sepatutnya dibebaskan pada Januari 2027.

Menurutnya, dia bercadang mencari pekerjaan selepas dibebaskan selain mempertimbangkan untuk bekerja jauh dari tempat asal bagi mengelakkan dirinya kembali terjebak dengan kegiatan lama.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kesalahan lalu kerana itu pilihan saya sendiri.

"Selepas ini saya mahu mencari kerja dan membina keluarga. Saya juga berharap dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari ketika berada di penjara untuk memulakan kehidupan baharu," katanya.

Alif disambut ahli keluarga selepas mendapat pembebasan awal sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin di Batu Gajah pada Jumaat.

Alif berkata, antara kemahiran yang diperolehnya sepanjang menjalani hukuman ialah membantu pengurusan acara termasuk pemasangan khemah dan penyediaan meja.

Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan Dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, kesemua 58 individu yang mendapat pengampunan berkenaan turut membabitkan tiga banduan wanita.

Katanya, banduan-banduan ini melakukan pelbagai jenis kesalahan di Perak, namun ada sebahagian berada di beberapa penjara di luar Perak dengan usia di antara 28 hingg 64 tahun.

Terdahulu berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak di pusat koreksional berkenaan.

Hadir menyempurnakan majlis, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.