KUALA LUMPUR - Tindakan membeli rumah pertama semata-mata kerana mengikut impian kediaman ideal boleh berisiko menyulitkan aliran tunai pembeli serta mengikat kebebasan mereka apabila berlaku perubahan situasi hidup, jelas Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan.
“Ramai pembeli terlalu terikut-ikut dengan keselesaan sendiri untuk tinggal di sesuatu rumah, tetapi terlepas pandang sama ada rumah itu mempunyai pasaran sewaan atau jualan semula yang baik. Apabila perlu berpindah kelak, mereka berdepan kesukaran mencari penyewa atau pembeli pada harga yang mampu menampung kos mereka,” katanya.
Faizul menyarankan pembeli rumah pertama supaya memberi keutamaan kepada hartanah yang menawarkan fleksibiliti maksimum, iaitu kediaman yang selesa diduduki, mudah disewakan atau sedia dijual mengikut keperluan semasa.
“Hartanah pertama anda mesti memberi anda pilihan (options). Anda boleh duduk jika sesuai dengan gaya hidup, boleh disewakan jika perlu berpindah kerja, atau dijual apabila masanya sesuai. Ketiga-tiga kebarangkalian ini perlu dihitung sebelum membeli,” katanya.
Beliau mendapati pembeli yang terlalu taksub dengan rumah impian sering terlepas pandang aspek kadar permintaan sewa, tarikan jualan semula, serta kos pegangan bulanan.
“Mereka beli untuk duduk sendiri dengan andaian akan kekal di situ berpuluh tahun. Namun perubahan kerjaya, perkahwinan, atau situasi keluarga memaksa mereka berpindah. Jika rumah itu gagal disewakan pada kadar yang menguntungkan atau sukar dijual tanpa kerugian, rumah impian tersebut akhirnya menjadi beban kewangan,” ujarnya.
Tambah Faizul, pembeli juga kerap menghadkan pilihan terlalu awal dengan menganggap lokasi strategik tertentu berada di luar kemampuan mereka tanpa terlebih dahulu menganalisis kedudukan kewangan sebenar.
“Sebilangan pembeli hanya mencari rumah di kawasan yang mereka 'rasa' mampu sahaja. Sebelum membuat keputusan, fahami struktur kewangan anda dan bandingkan pilihan yang wujud di pasaran. Jika tidak, anda mungkin terlepas hartanah yang lebih berpotensi hanya disebabkan andaian awal,” katanya.
Bagi klien FAR Capital, Firdaous Fadzil, 38, pemahaman mendalam mengenai proses pembelian hartanah membantunya mengubah persepsi tersebut sekaligus merealisasikan pemilikan rumah pertamanya.
“Hasil ilmu yang saya pelajari menerusi platform pembelajaran dalam talian FAR Capital serta manfaat rebat yang diperoleh, saya berjaya membeli rumah pertama di kawasan strategik yang selama ini saya ingatkan di luar kemampuan saya,” katanya.
Menurut Faizul, penguasaan ilmu kejuruteraan kewangan membolehkan pembeli mengelak daripada membuat keputusan terburu-buru hanya disebabkan harga pasaran kelihatan ‘murah’.
“Kemampuan membeli hanyalah langkah awal. Anda juga perlu menilai sama ada lokasinya mempunyai permintaan sewa yang tinggi dan sejauh mana ia mudah dijualkan jika perancangan anda berubah.”
Beliau mengingatkan pembeli supaya mengambil kira kos menyeluruh pemilikan termasuk kos pembiayaan, penyelenggaraan, pembaikan, serta kelengkapan perabot, di samping bersedia menghadapi risiko kadar kekosongan penyewa.
Pemerhatian ini dikongsi bersempena persidangan FIRE (Financially Independent, Retire Early) yang menarik kehadiran lebih 2,500 peserta di MITEC pada Sabtu, 10 Oktober 2026.