KITA semua tahu dunia perniagaan sentiasa berubah. Sejak kebelakangan ini, teknologi dan geopolitik menjadi antara pemacu utama perubahan. Di samping itu, faktor alam sekitar juga semakin berpengaruh, seperti yang dapat dilihat di Lembah Klang.
Oleh itu, model perniagaan yang selama ini berjaya mungkin menjadi kurang relevan dan perlu diperhalusi semula. Lihat sahaja kesan kenaikan kos yang dikenakan oleh platform pasaran (marketplace) terhadap usahawan yang berniaga di situ. Walaupun mereka mungkin menikmati keuntungan yang besar, penguncupan margin keuntungan boleh menjejaskan daya maju perniagaan.
Bagi perniagaan yang mempunyai saluran jualan lain, mereka mungkin boleh menumpukan usaha dan modal kepada saluran di luar platform pasaran tersebut. Bagaimana pula dengan perniagaan yang hanya menjual melalui saluran yang dikuasai pihak lain?
Sekiranya usahawan yang bergantung kepada platform jualan mahu membina saluran jualan lain, sama ada secara dalam talian atau melalui jaringan penjual yang berbeza, hal itu merupakan satu perubahan model perniagaan. Kemahiran baharu mungkin diperlukan. Di sinilah usahawan perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu.
Walaupun model perniagaan sedia ada tidak terjejas, perubahan dalam pasaran tetap membuka peluang baharu dan pada masa yang sama mewujudkan pelbagai risiko yang boleh menghalang perkembangan perniagaan. Untuk menjamin kelestarian perniagaan, usahawan bukan sahaja perlu mampu membaca corak perubahan, malah mesti mempunyai keupayaan untuk merebut peluang yang terbuka dan mengurus risiko baharu yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.
Adakah mengikuti kursus yang melayakkan mereka memperoleh diploma dan ijazah dapat membantu? Mungkin ya. Namun, kita semua tahu terdapat banyak ilmu tersirat (tacit knowledge) yang hanya boleh diperoleh dan dipelajari di lapangan.
Oleh yang demikian, sama seperti golongan profesional yang perlu memenuhi keperluan pembangunan profesional berterusan yang ditetapkan oleh badan profesional masing-masing, usahawan juga perlu mempunyai perancangan pembelajaran berterusan yang mampu menjadikan mereka lebih baik dan berdaya saing.
Bagi membantu proses pembelajaran yang tersusun, satu kerangka ilmu keusahawanan perlu diwujudkan. Perkara ini bukanlah sesuatu yang rumit. Kita boleh mengambil rujukan daripada subjek yang diajar dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), misalnya pemasaran, pengurusan kewangan, pengurusan modal insan, logistik, undang-undang dan pelbagai bidang ilmu lain. Ini sudah memadai sebagai kerangka asas.
Seterusnya, usahawan perlu mengambil kira keperluan industri atau pasaran yang diceburi. Langkah ini membolehkan mereka memahami tahap pengetahuan yang diperlukan dan mengenal pasti kemahiran baharu yang kritikal.
Usahawan yang membina sendiri kerangka ilmu yang perlu dikuasai akan lebih mudah menentukan sejauh mana mereka perlu belajar sendiri dan pada tahap mana mereka perlu mendapatkan khidmat pakar yang diperlukan oleh perniagaan.
Apabila kerangka ilmu telah diwujudkan, lebih mudahlah bagi usahawan menentukan di mana dan bagaimana mereka boleh mendapatkan ilmu tersebut. Perkara ini bergantung kepada kecenderungan, minat dan masa yang dimiliki. Pada hari ini, terdapat pelbagai sumber ilmu yang menawarkan pelbagai tahap pembelajaran, termasuk yang sesuai untuk individu yang sentiasa sibuk.
Amat mudah bagi seseorang usahawan menjadikan kesibukan sebagai alasan. Namun, jika mereka mahu menjadi individu yang lebih berkeupayaan menguasai perniagaan sendiri, sama ada suka atau tidak, mereka perlu meluangkan masa dan berdisiplin dalam meningkatkan ilmu serta kemahiran baharu.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), usahawan boleh menjadikan AI sebagai pembantu dan guru. Namun, ada satu perkara yang perlu diingat. Kita mesti mempunyai kecerdasan insaniah dan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan sebelum mampu memanfaatkan AI secara berkesan.
*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.