Budaya Melayu di 'pinggir kubur' jika tidak dipelihara

Iklan
Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping muncul johan Pertandingan Barzanji dan Marhaban Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak 2026.

IPOH - Kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan diperkasa bagi menghidupkan semula warisan budaya Melayu, termasuk seni tradisi Barzanji dan Marhaban dalam kalangan generasi muda.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, usaha itu penting bagi memastikan adat dan tradisi Melayu tidak terus terpinggir sehingga dilupakan oleh generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, budaya Melayu kini seolah-olah berada di 'pinggir kubur' sekiranya tiada inisiatif berterusan untuk memelihara dan menghidupkan kembali warisan yang semakin kurang diamalkan masyarakat.

Beliau melihat institusi pendidikan sebagai platform penting untuk menyemai minat pelajar terhadap seni tradisi berkenaan, selain memastikan penglibatan golongan itu tidak terhenti setakat menyertai pertandingan.

Iklan

"Kita tidak mahu apabila pertandingan selesai, tradisi ini turut terhenti. Sebaliknya, kalau boleh, persembahan barzanji dimasukkan dalam acara rasmi sekolah sebagai alternatif kepada persembahan nyanyian atau koir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Pertandingan Barzanji dan Marhaban Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak 2026 di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh; Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Mohd Annuar (dua dari kiri) menyempurnakan adat cukur jambul dan berendoi sempena majlis penutup Pertandingan Barzanji dan Marhaban Sekolah Menengah Peringkat Negeri Perak 2026 di Ipoh pada Khamis.

Mengulas lanjut, Annuar Zaini turut mencadangkan supaya pertandingan pidato dan penulisan esei bertemakan sejarah serta peranan Barzanji dan Marhaban dianjurkan, khususnya menjelang sambutan Maulidur Rasul atau Maal Hijrah.

Katanya, pendekatan itu dapat mendorong pelajar membuat penyelidikan mengenai asal usul dan kepentingan seni tradisi berkenaan dengan bimbingan guru, sekali gus menambah pengetahuan mereka terhadap warisan masyarakat Melayu.

Menurut beliau, usaha mengangkat semula budaya Melayu juga perlu diperluaskan kepada adat lain seperti seni silat dan pembuatan bunga telur yang mempunyai nilai tersendiri dalam kehidupan masyarakat.

"Kalau anak-anak kita berkahwin, apa salahnya kita kekalkan pemberian bunga telur sebagai buah tangan? Jangan sampai adat sendiri kita tinggalkan kerana terlalu mengikut perubahan semasa.

"Kita perlu ada kesedaran untuk mempertahankan budaya sendiri. Ini perjuangan kita bersama," katanya.

Sementara itu, Pertandingan Barzanji dan Marhaban anjuran MAIPk dengan kerjasama JAIPk dan JPN Perak tahun ini disertai 108 pelajar daripada 12 sekolah menengah di seluruh negeri.

Program berkenaan turut diserikan dengan adat cukur jambul dan berendoi membabitkan empat bayi, diiringi persembahan Kumpulan Marhaban Bubuhan Bagan Datuk dan Kumpulan Bubuhan Bagan Serai.