JAKARTA - Indonesia mengalu-alukan ketibaan dua pesawat dari Australia bagi memperkukuh usaha membanteras kebakaran hutan dan tanah khususnya dalam operasi pemadaman melalui udara selama tujuh hari, yang dijadualkan bermula di wilayah Kalimantan Timur pada Jumaat.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi berkata, pesawat berkenaan yang disediakan oleh Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales, Australia, terdiri daripada sebuah C-130 Hercules dan sebuah Cessna Citation.
"Operasi udara Australia ini turut disokong tenaga kerja termasuk juruterbang, anak kapal dan paramedik," katanya pada majlis menyambut ketibaan pesawat itu serta kakitangan Australia di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Khamis, menurut kenyataan BNPB.
Kristomei berkata, bantuan daripada Australia itu akan melengkapkan usaha pemadaman kebakaran di darat serta operasi pengubahsuaian cuaca yang sedang dijalankan, dengan penempatan aset udara dijadualkan dari 6 hingga 12 November.
Berucap pada majlis yang sama, Duta Besar Australia ke Indonesia, Roderick Bruce Brazier, menjelaskan bahawa bantuan itu adalah selepas penilaian teknikal bersama mengenai situasi di lapangan.
Pesawat C-130 Hercules akan berfungsi sebagai pesawat tangki udara berkapasiti besar manakala Cessna Citation pula berperanan sebagai pesawat pemandu.
Beliau berkata, C-130 tersebut mampu melepaskan sehingga 15,000 liter air bagi setiap penerbangan.
Jumlah air yang boleh disalurkan mencecah 90,000 liter sehari berdasarkan jangkaan enam penerbangan sehari, bergantung pada keadaan operasi.
Beliau turut menyentuh mengenai sejarah panjang kerjasama dalam pengurusan bencana antara kedua-dua negara, mengimbau kembali tindakan Indonesia menghantar sebuah pesawat C-130 Hercules bagi membantu memindahkan penduduk di Darwin susulan kejadian Siklon Tracy pada 1974. - Bernama