Michigan tolak kempen penuh kebencian, dendam - El-Sayed

Iklan
Abdul El-Sayed. Foto AFP

WASHINGTON - Bakal Senator Amerika Syarikat (AS), Abdul El-Sayed berkata, pengundi Michigan menolak kempen berunsur kebencian yang menyasarkan identitinya sebagai seorang Muslim sepanjang persaingan merebut kerusi Senat, lapor Associated Press (AP).

Kemenangan El-Sayed ke atas calon Republikan, Mike Rogers yang diumumkan awal Rabu memberikan satu lagi kejayaan penting kepada Parti Demokrat di Michigan, antara negeri yang menjadi tumpuan dalam pilihan raya itu.

Iklan
Iklan

Keputusan itu turut mengukuhkan penguasaan Parti Demokrat di Senat selepas parti berkenaan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.

El-Sayed dilahirkan di AS selepas ibu bapanya berhijrah dari Mesir.

Iklan

"Michigan membuktikan betapa besarnya jiwa rakyat negeri ini. Mereka menolak kempen yang sarat dengan kebencian dan dendam, yang langsung tidak menyentuh isu sebenar, sebaliknya hanya menjadikan nama dan identiti saya sebagai sasaran.

"Rakyat Michigan menolak pendekatan itu. Setiap daerah, tanpa terkecuali, menunjukkan penentangan terhadap kempen berkenaan,” katanya.

Iklan

El-Sayed, yang bakal menjadi senator Muslim pertama di AS, memberitahu AP menerusi telefon bahawa pagi itu memberikan ruang kepadanya untuk merenung erti kemenangan berkenaan, termasuk maknanya kepada dua anak perempuannya yang masih kecil.

Menurutnya, anak perempuannya yang berusia tiga tahun masih belum memahami apa yang berlaku, manakala anaknya yang berusia lapan tahun sudah mengerti kejayaan itu, namun menganggapnya sebagai sesuatu yang biasa.

"Kini, perkara ini menjadi sesuatu yang akan mereka baca dalam buku sejarah," kata beliau.

Dengan kira-kira 97 peratus undi telah dikira, El-Sayed mendahului Rogers dengan kelebihan 7.0 mata peratusan.

Menurut data pengundian AP, setiap daerah di Michigan mencatatkan peralihan sokongan ke arah Parti Demokrat berbanding pilihan raya 2024. - Bernama-AP