PUTRAJAYA - Pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar paparan sijil atau logo pada premis, sebaliknya membabitkan proses penilaian dokumentasi dan pemeriksaan lapangan secara menyeluruh bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan halal.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melibatkan penilaian terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman.
Menurutnya, selepas pensijilan diberikan, pemegang SPHM turut tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Selepas dipersijilkan, pemegang SPHM tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan pemeriksaan ke atas premis rumah penyembelihan yang mempunyai SPHM di Petaling Jaya, Selangor, awal pagi Khamis.
Beliau berkata, kelebihan rumah sembelihan yang mempunyai SPHM ialah pematuhannya dinilai melalui proses pengauditan dan dipantau sepanjang tempoh pensijilan.
Jelasnya, langkah itu sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa proses penyembelihan dan pengendalian ayam tertakluk kepada keperluan Pensijilan Halal Malaysia.
"Perbezaan utama antara rumah sembelihan yang mempunyai SPHM dengan premis yang tidak dipersijilkan ialah pematuhan premis pemegang sijil telah melalui proses penilaian dan pengesahan di bawah Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
"Bagaimanapun, ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal, sebaliknya premis berkenaan belum memperoleh pengesahan pematuhan melalui sistem pensijilan terbabit.
“Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengusaha rumah sembelihan memohon SPHM bagi memperkukuh kawalan operasi, memudahkan kebolehkesanan bekalan dan meningkatkan keyakinan pelanggan.
Masyarakat juga diseru supaya membezakan antara dakwaan yang tular dengan hasil siasatan yang disahkan serta tidak membuat kesimpulan terhadap semua rumah sembelihan berdasarkan ketidakpatuhan di sesebuah premis.
Pengguna turut disaran mengutamakan bekalan daripada sumber yang dipersijilkan halal dan menyemak status pensijilan melalui Portal Halal Malaysia.
"Halal ialah amanah bersama. Pengusaha bertanggungjawab memelihara pematuhan, manakala pengguna berhak mendapat maklumat yang tepat dan bekalan yang diyakini," jelas beliau.