COMO 1907 mencipta sejarah dalam kempen Liga Juara-Juara apabila membelasah Lens 9-1 dalam aksi perlawanan keempat fasa liga pada awal pagi Khamis, sekali gus menyamai rekod kemenangan dengan perbezaan lapan gol dalam pertandingan elit Eropah itu.
Keputusan tersebut menyaksikan Como menyamai pencapaian Liverpool yang membenam Besiktas 8-0 pada peringkat kumpulan musim 2007-08 dan Real Madrid ketika menewaskan Malmo dengan jaringan sama pada musim 2015-16.
Lebih menarik, kemenangan besar itu turut menyaksikan Como menyamai rekod Bayern Munich sebagai pasukan yang menjaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara.
Kelab gergasi Jerman itu sebelum ini mencatat kemenangan 9-2 ke atas Dinamo Zagreb dalam fasa liga musim 2024-25.
Como yang membuat penampilan pertama dalam pertandingan kelab paling berprestij Eropah musim ini, turut mencipta rekod baharu sebagai pasukan pelawat dengan kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Beraksi di Stade Bollaert-Delelis, skuad kendalian Cesc Fabregas itu sudah mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan penyerang Anastasios Douvikas dan satu gol Nico Paz.
Como meneruskan pesta jaringan sebaik babak kedua bermula apabila Lucas da Cunha menambah gol keempat pada minit ke-47 sebelum Marc-Oliver Kempf meledak gol kelima.
Douvikas kemudian melengkapkan hatriknya sebelum Mattia Liberali menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-62.
Lens bagaimanapun memperoleh gol sagu hati menerusi Ruben Aguilar tiga minit kemudian, namun Martin Baturina kembali melebarkan jurang buat Como dengan jaringan kelapan pada minit ke-69.
Ketika perlawanan berbaki masa kecederaan, pemain berusia 18 tahun, Matteo Papaccioli muncul pelengkap malam bersejarah Como apabila meledak gol kesembilan pada minit kedua masa tambahan.
Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan gol berkenaan.