'Tiada izin diberi untuk hubungan seksual' - Hakim minoriti dakwa Da’i Syed ambil kesempatan atas kemurungan mangsa

Iklan
Da’i Syed Shah Iqmal (tengah) bergambar bersama isterinya, Hana Ismail (empat dari kiri) dan peguamnya Datuk Abu Bakar Isa Ramat (tiga dari kanan) selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Rabu daripada pertuduhan merogol seorang wanita enam tahun lepas. - FOTO: Bernama

PUTRAJAYA – Pendakwah selebriti, Da’i Syed didakwa mengambil kesempatan terhadap masalah kemurungan berpanjangan yang dialami seorang wanita sebelum melakukan hubungan seksual dengannya tanpa kerelaan mangsa.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid pada Rabu berpendapat demikian dengan menambah, keadaan kesihatan mental wanita berkenaan menyebabkan mangsa tidak berupaya memberikan keizinan untuk melakukan hubungan seksual dengan pendakwah itu.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kelakuan wanita selepas kejadian, mesej mesra jadi asas Da’i Syed dibebaskan - Hakim

Kelakuan wanita selepas kejadian, mesej mesra jadi asas Da’i Syed dibebaskan - Hakim

Iklan

Meor Hashimi menjadi satu-satunya hakim yang berpandangan berbeza apabila tidak bersetuju dengan keputusan majoriti yang melepaskan dan membebaskan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31 daripada tuduhan berkenaan.

Semasa membaca keputusan menentang, Meor Hashimi berkata, mangsa ketika kejadian berusia 23 tahun, mengalami masalah ‘Major Depressive Disorder with Psychosis dan Borderline Personality Disorder’.

Iklan

Susulan itu katanya, ia tidak boleh dianggap mampu memberikan persetujuan dalam hubungan berkenaan.

Menurutnya, masalah kemurungan yang dialami mangsa turut menjelaskan tindakannya yang masih menghantar mesej kepada Syed Shah Iqmal selepas kejadian, termasuk bertanyakan bila mereka boleh berjumpa lagi.

"Masalah kemurungan mangsa menyebabkan tiada izin boleh diberikan oleh mangsa dalam melakukan hubungan seksual dengan perayu.

"Ini menunjukkan hubungan di antara perayu dan mangsa dilakukan tanpa kerelaan mangsa dan dengan paksaan perayu.

“Perayu telah mengambil kesempatan atas masalah kemurungan berpanjangan yang dialami oleh mangsa," katanya.

Meor Hashimi berkata, Syed Shah Iqmal mengakui berlaku hubungan intim namun isu utama yang dipertikaikan ialah sama ada ia dilakukan dengan kerelaan wanita berkenaan atau sebaliknya.

Hakim itu turut mengambil kira keterangan mangsa yang mendakwa dia cuba melawan dan melepaskan diri ketika kejadian, namun gagal sebelum akhirnya berasa lemah.

Selain itu katanya, mangsa juga menangis dan tidak merelakan perbuatan berkenaan dan mendapatkan rawatan psikiatri di beberapa hospital sejak Februari 2019, termasuk Hospital Shah Alam, Hospital Kajang dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Beliau berkata, rekod perubatan serta keterangan pakar psikiatri mengesahkan mangsa mengalami masalah kemurungan berpanjangan, gangguan halusinasi dan kecenderungan membunuh diri.

Mengulas mengenai kelewatan mangsa membuat laporan polis, hakim itu berkata, wanita berkenaan hanya tampil membuat laporan pada 25 November 2020, lebih setahun selepas kejadian, kerana tidak mempunyai pekerjaan serta sumber kewangan untuk mendapatkan khidmat peguam.

Beliau berkata, mangsa juga tidak mengetahui kes jenayah akan dikendalikan oleh pihak pendakwaan.

Dalam pada itu, Meor Hashimi menolak rayuan Syed Shah Iqmal terhadap sabitan dan hukuman serta rayuan silang Pendakwa Raya yang mencabar hukuman berkenaan.

Beliau berpendapat, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak melakukan sebarang kekhilafan undang-undang atau fakta ketika mensabitkan pendakwah itu.

Sehubungan itu, beliau mengekalkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh jatuh hukum serta tiga sebatan rotan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Hakim itu turut menyifatkan hukuman berkenaan memadai, setimpal dan tidak keterlaluan selepas mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan.

Bagaimanapun, pandangan minoriti ini tidak terpakai kerana dua lagi hakim memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan perayu.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, jam 1.35 pagi pada 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 30 Ogos 2024, dia menangis teresak-esak selepas Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adlin Abdul Majid menjatuhinya hukuman berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

Pada 23 Januari pula, Mahkamah Tinggi sama mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dengan alasan pembelaan perayu bersifat penafian semata-mata selain berpendapat, tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.

Dia sekali lagi ditempatkan di penjara namun pada 14 Februari lalu iaitu selepas 21 hari dijel, bapa kepada dua anak itu dibebaskan sementara sehingga rayuan akhir di Mahkamah Rayuan didengar.