SKUAD hoki lelaki kebangsaan menggalas misi serampang dua mata apabila bakal berdepan Jepun dalam aksi separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India pada Rabu.
Selain memburu kemenangan untuk mengesahkan tempat ke final, Speedy Tigers turut berpeluang menebus kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada pasukan sama dalam aksi terakhir peringkat liga sepusingan pada Isnin.
Kekalahan itu pastinya menjadi pengajaran berguna buat anak buah Brendon Carolan yang kini perlu tampil dengan persembahan lebih mantap bagi memastikan impian melangkah ke pentas final menjadi kenyataan.
Carolan berkata, kejayaan mara ke separuh akhir sudah memenuhi sasaran awal pasukan namun kemenangan dalam aksi kalah mati itu akan memberikan kepuasan lebih besar kepada seluruh skuad.
“Sasaran ke separuh akhir berjaya dicapai. Apa yang akan membuatkan kami lebih gembira selepas ini ialah apabila berjaya memenangi aksi separuh akhir dan melangkah ke final.
“Kami juga sudah mengetahui apa yang perlu dijangkakan apabila bertemu dalam perlawanan kalah mati dan akhirnya nanti bergantung kepada pasukan mana yang lebih baik pada hari perlawanan.
“Kami boleh melupakan apa yang berlaku hari ini, tetapi perlu mengambil pengajaran daripada kekalahan ini dan tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Olimpik Surjit Singh itu, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-10.
Azrai yang kembali memperkuatkan pasukan selepas mengalami demam panas ketika menentang India sehari sebelumnya, membuktikan kepentingannya dalam jentera serangan negara.
Malah, penjaga gol negara, Muhammad Zaimi Mat Deris turut muncul penyelamat apabila menafikan pukulan penalti stroke Jepun seminit sebelum jaringan pembukaan Malaysia.
Bagaimanapun, kegagalan memanfaatkan beberapa peluang untuk menambah jaringan memberi ruang kepada Jepun bangkit menguasai keadaan sebelum Kentaro Fukuda meledak dua gol padang pada minit ke-24 dan 54 untuk memastikan kemenangan 2-1.
Carolan mengakui faktor keletihan mungkin mempengaruhi prestasi pemain selepas terpaksa mengharungi dua perlawanan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat, termasuk kekalahan 2-4 kepada India sehari sebelumnya.
“Secara keseluruhannya kami menguasai permainan dan mendahului 1-0. Kami sekali lagi memperoleh beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti yang sepatutnya membolehkan kami mendahului 2-0.
“Sebelum itu, kami juga mempunyai satu lagi peluang keemasan. Apabila berada dalam kedudukan lebih baik berbanding lawan, kita perlu mengambil peluang untuk memastikan mereka tidak mampu bangkit.
“Sudah tentu faktor keletihan memainkan peranan, lebih-lebih lagi apabila terpaksa mengharungi dua perlawanan berturut-turut dan mungkin pemain juga sudah mula memikirkan mengenai aksi separuh akhir,” katanya.