Undi anak muda: Hak, keistimewaan dan tanggungjawab terhadap masa depan individu, keluarga dan negara

Iklan
Golongan belia tidak lagi sekadar menjadi pemerhati terhadap perjalanan politik tanah air, tetapi turut diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada penentu arah tuju negara. Gambar hiasan

DALAM sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen seperti Malaysia, hak untuk mengundi merupakan antara asas terpenting dalam memastikan suara rakyat didengari dan kepimpinan negara ditentukan melalui pilihan masyarakat.

Namun begitu, sejauh manakah kita benar-benar menghargai hak tersebut? Adakah kita melihatnya sekadar sebagai satu keistimewaan yang boleh digunakan apabila dirasakan perlu, ataupun sebagai satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan demi kepentingan bersama?

Iklan
Iklan

Hakikatnya, mengundi bukan sekadar hak yang diberikan kepada rakyat, tetapi juga suatu amanah dan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang mempunyai peranan dalam menentukan hala tuju negara.

Perkara ini menjadi lebih signifikan apabila had umur minimum pengundi di Malaysia diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun. Perubahan tersebut bukan sekadar pindaan dari sudut perundangan, sebaliknya merupakan satu pengiktirafan terhadap suara dan kemampuan golongan muda untuk turut serta dalam proses demokrasi negara.

Iklan

Secara tidak langsung, ia membawa mesej bahawa pandangan anak muda juga penting, bahawa mereka berhak untuk didengari, diwakili dan diberikan perhatian dalam setiap keputusan yang melibatkan masa depan negara.

Dengan pengiktirafan ini, golongan belia tidak lagi sekadar menjadi pemerhati terhadap perjalanan politik tanah air, tetapi turut diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada penentu arah tuju negara.

Iklan

Walau bagaimanapun, kita tidak dapat menafikan bahawa minat golongan belia terhadap politik pada hari ini semakin menjadi persoalan.

Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan fenomena ini, antaranya ialah keletihan politik yang menyebabkan seseorang berasa bosan, jemu atau letih dengan ketidakstabilan politik yang berterusan, khususnya apabila sering terdedah kepada isu-isu yang membimbangkan, perselisihan antara pemimpin, ketidakstabilan politik serta pelbagai polemik yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Keadaan ini turut diburukkan oleh lambakan maklumat dan perang naratif di media sosial. Dalam era digital, golongan muda terdedah kepada pelbagai pandangan, dakwaan dan kritikan yang kadangkala bercanggah antara satu sama lain.

Tanpa keupayaan menilai kesahihan maklumat secara kritis, keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan akhirnya menyebabkan mereka memilih untuk menjauhkan diri daripada perbincangan politik.

Selain itu, ketidakyakinan terhadap sesetengah ahli politik, khususnya apabila janji dan tindakan dilihat tidak seiring, turut menyumbang kepada sikap skeptikal dalam kalangan anak muda.

Selain itu, saya berpendapat bahawa salah satu faktor yang penting untuk diberikan perhatian ialah kurangnya kesedaran tentang sejauh mana keputusan politik mempengaruhi kehidupan seharian kita.

Politik sering dianggap sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan anak muda, seolah-olah hanya berkaitan dengan ahli politik, parti politik atau perebutan kuasa. Hakikatnya, keputusan yang dibuat oleh pemimpin dan kerajaan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kehidupan masyarakat, termasuk golongan belia.

Persoalan seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, akses kepada pendidikan berkualiti, kemudahan pengangkutan awam, pembangunan infrastruktur dan peluang pemilikan rumah merupakan antara perkara yang berkait rapat dengan dasar serta keputusan kepimpinan.

Malah, perkara yang mungkin kelihatan kecil dalam kehidupan seharian kita juga boleh dipengaruhi oleh keputusan di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Dalam konteks pilihan raya negeri Melaka, misalnya, pemilihan wakil rakyat bukan sekadar menentukan siapa yang akan menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi juga siapa yang bakal bertanggungjawab memperjuangkan kepentingan penduduk setempat dan merancang pembangunan negeri.

Justeru, kesedaran untuk keluar mengundi sebenarnya mampu membawa perbezaan yang besar. Ia boleh menjadi pemisah antara pemilihan seorang pemimpin yang berintegriti, bertanggungjawab dan berkeupayaan dengan seseorang yang mungkin kurang cekap dalam melaksanakan amanah.

Ada juga dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan muda, yang beranggapan bahawa keputusan untuk tidak mengundi tidak akan membawa sebarang kesan yang ketara.

Mungkin timbul pemikiran bahawa satu undi tidak akan mengubah apa-apa, apatah lagi jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi.

Namun, tanggapan sedemikian wajar diperbetulkan. Sekeping kertas undi mungkin kelihatan kecil dan tidak signifikan secara individu, tetapi apabila digabungkan dengan undi-undi lain, ia mampu untuk menentukan keputusan pilihan raya.

Kita mungkin tidak menyedari kesan daripada satu undi yang tidak diberikan, tetapi hakikatnya, setiap undi yang tidak digunakan merupakan satu suara yang dilepaskan begitu sahaja.

Sebagai anak muda sendiri, saya amat menggalakkan rakan-rakan sebaya dan seluruh golongan belia untuk sekurang-kurangnya mengambil berat tentang hak dan keistimewaan yang telah diberikan ini.

Kita tidak semestinya perlu menjadi individu yang aktif berpolitik, menyertai parti politik atau sentiasa mengikuti setiap perkembangan politik negara. Namun, kita perlu mempunyai kesedaran bahawa politik bukan sesuatu yang terpisah daripada kehidupan kita.

Sekurang-kurangnya, ambillah masa untuk memahami perkara asas, isu semasa, menilai rekod dan kemampuan calon serta membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang rasional, bukannya semata-mata sentimen atau pengaruh orang lain.

Hak mengundi merupakan suara yang diberikan kepada kita untuk menentukan masa depan yang ingin kita wariskan kepada generasi seterusnya. Janganlah kita hanya mengharapkan perubahan, tetapi pada masa yang sama melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut.

Gunakanlah hak ini dengan sebaik-baiknya, kerana sebagai rakyat dan anak muda Malaysia, kita bukan sekadar pewaris masa depan negara, tetapi juga sebahagian daripada mereka yang bertanggungjawab mencorakkannya. Suara kita bernilai, dan tanggungjawab kita bermula dengan satu undi.

*Aisyah Shofi, 24, graduan Ijazah Sarjana (Pendidikan) dari University College London (UCL), ialah seorang pempengaruh terkenal menerusi akaun TikTok @aisyahshofi_ yang mempunyai sekitar 480.3K pengikut dengan 15.4 juta tanda suka.