KOTA MELAKA- Penyatuan undi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi taruhan gabungan itu untuk mencabar dominasi Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Calon PN, Albert Kok berkata, kerjasama erat antara jentera BN dan PN sepanjang tempoh kempen memberi petunjuk positif terhadap peluang gabungan itu untuk meraih sokongan pengundi.
Menurutnya, gerak kerja bersama termasuk dengan Pas berjalan lancar, malah jentera BN turut membantu dengan memberi ruang kepada calon PN untuk menyertai program bersama.
“Sepanjang awal kempen ini, kami bekerjasama erat dengan BN dan program yang kita buat sangat lancar. Kita memang bergerak bersama, termasuk Pas.
“Ini menunjukkan perhubungan kita sangat baik. Jentera BN juga membantu, menyambut dan memberi ruang untuk kita berucap serta bersama-sama dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Kesidang, Taman Malim Jaya, di sini.
Beliau berpandangan, penggabungan undi BN dan PN berpotensi mengubah kedudukan politik di Kesidang berbanding PRN 2021 apabila undi kedua-dua parti itu berpecah.
Katanya, peluang untuk merampas kerusi berkenaan juga bergantung kepada peningkatan jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain perubahan sentimen dalam kalangan pengundi.
“Saya percaya tsunami akan berlaku kerana rakyat pandai menilai. Mereka tahu mana yang sepatutnya mereka keluarkan undi atau tidak.
“Saya harap pengundi memberi kita peluang. Saya percaya jika undi Melayu keluar dan memberi sokongan, kita memang berpeluang untuk menang,” ujar beliau.
Albert berkata, sasaran keluar mengundi melebihi 70 hingga 80 peratus juga mampu meningkatkan peluang PN untuk mencipta kejutan di kawasan berkenaan.
Mengulas komposisi pengundi yang menyaksikan kaum Cina membentuk kira-kira 54 peratus daripada keseluruhan pengundi, beliau percaya faktor itu tidak semestinya menjadi penghalang kepada peluang PN.
Menurutnya, pengundi Cina mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan pilihan, meskipun mengakui kemungkinan wujud sentimen kebimbangan untuk mengundi gabungan yang turut disertai Pas.
“Saya percaya pengundi Cina bijak memilih. Mungkin ada sentimen takut untuk mengundi kerana Pas, tetapi penilaian setiap orang berbeza-beza.
“Saya lihat ia lebih kepada sentimen dan cara pemikiran kita. Kalau kita nampak perkembangan sesuatu tempat itu tidak menampakkan perubahan, takkan rakyat berdiam diri lagi?” katanya.
Dalam pada itu, Albert berkata, pendekatan berteraskan kebajikan dan kepentingan rakyat menjadi perkara utama yang dibawanya sepanjang bertemu pengundi.
Menurutnya, seorang wakil rakyat perlu membuktikan komitmen melalui usaha membawa pembangunan serta memenuhi keperluan masyarakat, bukan sekadar penampilan atau perkara luaran.
“Apa yang penting adalah rakyat dan sebagai wakil rakyat, kita mesti menunjukkan apa pembangunan dan apa yang sepatutnya dibawa untuk rakyat,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, calon Pakatan Harapan (PH), Seah Shoo Chin daripada DAP mengekalkan kerusi DUN Kesidang dengan memperoleh 14,769 undi, menewaskan calon BN, Leong Hui Ying yang mendapat 4,532 undi dan calon PN, Patrick Ng Chin Kae dengan 3,124 undi.
Kemenangan itu menyaksikan PH memperoleh majoriti 10,237 undi di kawasan berkenaan.
Seah yang juga penyandang kerusi DUN Kesidang sekali lagi dicalonkan PH untuk mempertahankan kerusi itu pada PRN kali ini.