HANG TUAH JAYA – Pakatan Harapan (PH) menyahut cabaran MCA untuk mengadakan debat membabitkan calon parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Timbalan Pengerusi PH, Khoo Poay Tiong berkata, cabaran itu bagaimanapun diperluaskan melibatkan debat empat lawan empat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Bandar Hilir, Machap Jaya dan Klebang.
"Empat calon PH bersedia sahut cabaran dan sekarang kita mencabar empat calon MCA untuk berdebat.
"Kita boleh berdebat mengenai apa sahaja topik berkaitan pentadbiran negeri Melaka dan kebajikan rakyat.
"Saya harap MCA boleh menerima cabaran ini supaya rakyat dapat membuat penilaian," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hanya mencabar calon DAP kawasan Bandar Hilir, Leng Chau Yen, berdebat dengan calonnya, Jasmine Lok mengenai rekod pencapaian masing-masing sepanjang memegang portfolio berkenaan.
Selain Chau Yen, wakil PH melibatkan Low Chee Leong, Farzana Hayani Mohd Nasir dan Datuk Ginie Lim Siew Lin.
Wakil MCA bagi kawasan sama ialah Datuk Ngwe Hee Sem, Datuk Lim Ban Hong, Jasmine dan Melvin Chua Kew Wei.
Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri mencadangkan perdebatan itu diadakan dalam bahasa Melayu bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami seluruh rakyat.
"Kita mahu debat ini diadakan secepat mungkin, jangan sampai selepas 14 November. Bila-bila masa kita sudah bersedia.
"Kalau mereka serius mahu berdebat, kita memang bersedia untuk berdepan. Tetapi jangan hanya seorang sahaja. Kalau berani, kita empat lawan empat," katanya.
Tambah beliau, lokasi perdebatan boleh dibincangkan bersama MCA dengan mencadangkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkecuali bertindak sebagai pengantara dan pengerusi debat.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Howard Lee Chuan How, mendakwa cabaran Ka Siong yang hanya tertumpu kepada kerusi Bandar Hilir menimbulkan persoalan mengenai motif di sebaliknya.
"Kalau nak lawan, lawan semua. Kalau nak berdebat, debat semua. Kalau nak menafikan ada agenda tersirat, berdebatlah.
"Inilah demokrasi dan persaingan dasar yang kita cadangkan dalam pendidikan politik secara umum," katanya.