Cemburu punca pergaduhan lima lelaki bersenjatakan parang - Polis

Iklan
Tular rakaman video membabitkan pergaduhan lima lelaki bersenjatakan parang di Taman Cendana, Pasir Gudang pada Ahad.

PASIR GUDANG – Perasaan cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan lima lelaki menggunakan parang di hadapan sebuah pangsapuri di Taman Cendana di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah malam itu, seorang lelaki warga tempatan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan pergaduhan lima lelaki menggunakan parang.

Iklan

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun kira-kira jam 4.34 pagi pada 1 November lalu.

"Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.

"Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan," katanya.

Tambah beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 7 November ini.

Dalam pada itu, polis sedang giat mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3864222.