SPAOH - Seorang penduduk di Kampung Bungin, di sini, berdepan detik cemas apabila seekor anak ular tedung hitam ditemukan bersembunyi di tepi tilam dalam bilik tidur rumahnya pada Ahad.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.05 malam sebelum tiga anggota Skuad Charlie digerakkan ke lokasi.
Iklan
Iklan
Pasukan berkenaan diketuai Sarjan (PA) Kamarrul Badarudin bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berbisa tersebut.
Sebaik tiba, anggota APM melakukan pemeriksaan di sekitar bilik tidur sebelum menemukan ular berkenaan di tepi tilam selepas kira-kira lima minit pencarian.
Hasil pemeriksaan mendapati reptilia sepanjang kira-kira tiga kaki itu merupakan anak ular tedung hitam daripada spesies Equatorial Spitting Cobra.
Ular berkenaan kemudian berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Reptilia itu seterusnya dimasukkan ke dalam kotak khas haiwan berbisa sebelum dibawa keluar dari kawasan kediaman untuk dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk.