Jangan sampai sektor padi diambil alih warga asing – Mohamad Sabu

Iklan
Mohamad (dua dari kiri) pada Program Turun Padang Bersama Pesawah Negeri Kedah 2026 di PPK MADA H-II Kepala Batas di Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR - Penglibatan rakyat tempatan dalam sektor pertanian khususnya penanaman padi perlu dipertahankan bagi mengelakkan industri penting itu turut dikuasai warga asing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sektor penanaman padi yang menjadi tunjang keterjaminan makanan negara berisiko berdepan nasib sama seperti beberapa sektor ekonomi lain sekiranya rakyat tempatan terus menganggap bidang berkenaan tidak menguntungkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini semakin banyak sektor pekerjaan dan perniagaan yang sebelum ini diceburi rakyat tempatan mula dikuasai pengusaha asing.

"Banyak kerja di peringkat bawah sekarang ini, tinggal bendang saja. Kalau bendang pun diambil alih warga asing, habis. Semua dah diambil alih orang luar.

Iklan

"Cuba tengok kedai gunting rambut. Kita kata gunting rambut rugi, tetapi orang luar ambil untung. Kalau gunting rambut rugi, macam mana mereka sanggup datang dari Madras (Chennai) untuk buka kedai gunting rambut di sini," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Turun Padang Bersama Pesawah Negeri Kedah 2026 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA H-II Kepala Batas di sini.

Iklan

Mohamad berkata, perkembangan sama turut dilihat dalam sektor perniagaan makanan dan pertanian apabila pengusaha tempatan semakin kurang menguasai ruang perniagaan berkenaan.

Beliau memberi contoh penglibatan pengusaha asing dalam sektor tanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands yang bukan sahaja mengusahakan tanaman, malah turut terlibat dalam pengedaran dan penjualan hasil pertanian.

"Restoran Melayu di Kuala Lumpur ini tinggal berapa, boleh kira dengan jari. Sekarang, restoran halal yang datang orang Pakistan, orang Lebanon," ujarnya.

Tegasnya, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana sektor pertanian mempunyai kepentingan strategik kepada negara dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada penglibatan warga asing.

Katanya, kerajaan perlu terus membantu pesawah tempatan supaya mereka mampu bertahan dalam industri berkenaan, terutama ketika berdepan peningkatan kos pengeluaran dan risiko kerugian tanaman.

"Pegawai kerajaan dan agensi berkaitan perlu lebih proaktif menyampaikan maklumat mengenai bantuan yang boleh dimohon bagi memastikan pesawah serta penduduk luar bandar tidak tercicir daripada menerima manfaat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengimbas kehidupan pesawah pada masa lalu yang terpaksa bergantung kepada peniaga kedai untuk mendapatkan bekalan keperluan harian sementara menunggu hasil padi.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pesawah terpaksa menjual hasil tanaman kepada peniaga sama pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran kerana mempunyai hutang.

"Dulu, kalau harga padi RM30 sepikul, orang tengah bayar RM28 kerana kita berhutang dengannya. Jadi, orang seperti itu perlu dikeluarkan kerana mereka menjadi orang tengah.

"Sekarang bantuan kerajaan sudah banyak dan kita mahu pesawah dapat menikmati kemudahan yang disediakan," jelasnya.