Puluhan ribu rakyat Itali sertai mogok, tuntut kenaikan gaji

Iklan
Mogok umum selama 24 jam itu dianjurkan kesatuan sekerja akar umbi, Unione Sindacale di Base (USB), dengan beberapa siri demonstrasi diadakan di lebih 40 bandar.

ROM - Puluhan ribu rakyat Itali, kebanyakannya pelajar dan pekerja turun ke jalanan di seluruh negara bagi menuntut kenaikan gaji, perkhidmatan awam lebih baik dan membantah peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan ketenteraan.

Mogok umum selama 24 jam itu dianjurkan kesatuan sekerja akar umbi, Unione Sindacale di Base (USB), dengan beberapa siri demonstrasi diadakan di lebih 40 bandar.

Iklan
Iklan

Perhimpunan itu berlangsung susulan beberapa insiden pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis awal bulan ini, termasuk kejadian rompakan kedai dan vandalisme harta benda.

Bagaimanapun, kebanyakan demonstrasi berlangsung secara aman meskipun ketegangan tercetus di beberapa kawasan.

Iklan

Di Turin, polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan sekumpulan pelajar dan aktivis berhaluan kiri yang menghampiri sekatan keselamatan di sekitar bangunan pejabat wilayah.

Di Rome, satu perarakan besar melalui kawasan berhampiran Colosseum sebelum penunjuk perasaan menyatakan hasrat untuk mendirikan khemah dan terus berkumpul sepanjang hujung minggu.

Iklan

Beberapa tong sampah turut diletakkan di tengah jalan sebelum dibakar.

Pada sebelah malam, sekumpulan besar penunjuk perasaan cuba berarak menuju ke bangunan Parlimen sehingga mendorong polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Agensi berita Itali, ANSA melaporkan lapan individu ditahan selepas berulang kali cuba merempuh sekatan polis.

Sementara itu, di Milan, penunjuk perasaan berarak memasuki jalan lingkaran bandar sebelum menamatkan demonstrasi di hadapan Universiti Politeknik Milan.

Mereka turut membakar beberapa objek sepanjang perhimpunan berkenaan.

Di Genoa pula, kira-kira 15,000 pekerja pelabuhan, pelajar dan penunjuk perasaan lain memasuki kawasan pelabuhan bagi menyertai bantahan terhadap penggunaan pelabuhan untuk penghantaran senjata.

Demonstrasi itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kematian pelaut dalam konflik yang berlaku dari kawasan Teluk hingga Laut Hitam.

Gelombang demonstrasi turut melanda beberapa negara Eropah lain termasuk Perancis, Sepanyol, Belgium dan Albania, didorong pelbagai tuntutan berkaitan kos sara hidup.