Dulu kaya raya, kini jatuh miskin hingga alami masalah mental

Iklan
Pihak bertanggungjawab turun ke lapangan bagi membantu keluarga berkenaan. - FOTO: Agensi

BANDUNG - Sebuah keluarga di Pacet, Bandung, Indonesia yang dahulunya hidup mewah dan memiliki perniagaan berjaya kini berdepan kemiskinan serta masalah kesihatan mental yang menjejaskan beberapa ahli keluarganya.

Kisah keluarga itu menjadi perhatian selepas rakaman video memaparkan keadaan rumah mereka yang kotor dan sempit tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Kompas.com, keluarga Cucu Jubadah sebelum ini hidup senang, namun keadaan berubah selepas perniagaan ketua keluarga mengalami kerugian sehingga membawa kepada perceraian.

Setiausaha Desa Mekarsari, Yasa berkata, masalah ekonomi dan konflik keluarga dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi serta masalah kesihatan mental dalam kalangan ahli keluarga berkenaan.

Iklan

“Pada awalnya, ibu bapa mereka berjaya dan kaya. Tiba-tiba keadaan ekonomi merosot dan bapa mereka mengalami tekanan.

“Kemudian Erna pula mengalami masalah sama, mungkin diburukkan lagi oleh perceraian ibu bapa mereka,” katanya.

Iklan

Cucu mempunyai tiga anak, iaitu Ogi Umaedi, Erna Maryana dan Melinda Ulhusna.

Ogi sebelum ini merantau ke Lampung dan mendirikan rumah tangga dengan Indah Triyanti sebelum kembali ke kampung halaman kira-kira empat bulan lalu.

Bagaimanapun, keadaan tempat tinggal yang tidak terurus dan tekanan kehidupan keluarga menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan mereka.

Lapan ahli keluarga dilaporkan tinggal berhimpit di sebuah rumah berukuran kira-kira 4x5 meter yang berada dalam keadaan kotor dan berbau.

Walaupun pihak kampung beberapa kali menjalankan kerja pembersihan, keadaan rumah dilaporkan kembali tidak terurus.

Situasi tersebut turut menjejaskan kebajikan kanak-kanak dalam keluarga itu, termasuk pendidikan dan perkembangan sosial mereka.

Susulan laporan pihak berkuasa kampung, Jabatan Sosial Kabupaten Bandung mengambil tindakan membantu keluarga terbabit melalui proses pemindahan dan pemulihan secara berperingkat.

Indah yang baru melahirkan bayi perempuan melalui pembedahan Caesarean telah dipindahkan bersama bayinya ke pusat kesihatan sebelum menjalani program pemulihan.

Sementara itu, Ogi, Erna dan Melinda turut menerima bantuan pemulihan kesihatan mental.

Menurut Yasa, pihak berkuasa kini memberi perhatian terhadap masa depan dua kanak-kanak dalam keluarga tersebut, termasuk usaha memastikan mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Pemerintah Desa Mekarsari turut berusaha mendapatkan kemudahan pendidikan menerusi program Sekolah Rakyat bagi membantu anak-anak berkenaan meneruskan persekolahan.

Kes itu mencetuskan perhatian terhadap kepentingan bantuan sosial, akses rawatan kesihatan mental dan perlindungan kanak-kanak dalam keluarga yang berdepan krisis ekonomi. - Agensi