Liga Super: Sabah kembali ke landasan kemenangan, tumpaskan Terengganu 2-0

Iklan
Pemain Sabah FC meraikan jaringan pertama pasukan itu menerusi gol yang dijaringkan Gonzalo Di Renzo (dua, kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Likas malam Sabtu. Foto Bernama

SABAH FC menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan dengan menumpaskan Terengganu FC 2-0 pada aksi Liga Super 2026/2-27 di Stadium Likas di sini malam ini.

Pasukan tuan rumah menceriakan penyokong mereka apabila lambungan jarak jauh tonggak pertahanan kiri dari Sepanyol, Enrique Lopez Fernandez melantun di dalam kawasan penalti lawan dan melangkaui penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin, sekali gus meletakkan Sang Badak di depan pada minit ke-20.

Iklan
Iklan

Hantaran menarik satu dua yang dimulakan penyerang Darren Lok pula berjaya disudahkan pemain sayap kanan dari Argentina, Gonzalo Ignacio Di Renzo yang melepaskan voli rendah untuk menggandakan kelebihan Sabah lima minit kemudian.

Pemain Sabah FC, Darren Lok (dua, kanan) dikawal ketat oleh dua pemain pertahanan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas malam Sabtu. Foto Bernama

Iklan

Malang terus menimpa skuad Sang Penyu apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales dilayangkan kad merah pada minit ke-42 setelah mengasari pemain tuan rumah.

Biarpun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Sabah gagal menambah jaringan pada babak kedua sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Iklan

Keputusan itu menyaksikan Sabah di tangga kelima liga selepas mengutip 10 mata dengan rekod tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Terengganu pula berada di kedudukan kesembilan dengan lima mata menerusi satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. - Bernama