Legenda Al-Hilal perlekeh hatrik Ronaldo, dakwa hanya jaring gol mudah

Iklan
Ronaldo

BEKAS penjaga gol Arab Saudi dan legenda Al-Hilal, Mohamed Al-Deayea menganggap Cristiano Ronaldo banyak bergantung kepada hantaran rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan sekali gus menyifatkan Joao Felix sebagai watak sebenar yang menggerakkan jentera serangan Al-Nassr.

Al-Deayea berpandangan Felix lebih layak menerima pujian atas kemenangan 5-3 Al-Nassr ke atas Al-Kholood dalam aksi Liga Pro Saudi di Stadium Al-Awwal Park selepas pemain Portugal itu menghasilkan empat bantuan gol.

Iklan
Iklan

Ronaldo pula mencuri tumpuan apabila meledak hatrik dalam tempoh 15 minit pada babak kedua menerusi jaringan pada minit ke-66, 72 dan 81 untuk memastikan Al-Nassr mengutip tiga mata penuh.

Bagaimanapun, bekas penjaga gol Al-Hilal itu tidak melihat kejayaan Ronaldo menjaringkan tiga gol sebagai sesuatu yang luar biasa sebaliknya mendakwa penyerang berusia 41 tahun itu banyak mendapat manfaat daripada khidmat pemain sayap yang membekalkan hantaran kepadanya.

Iklan

"Felix adalah aset kepada Liga Saudi secara keseluruhan, bukan sekadar Al-Nassr. Dia pemain utama skuad kebangsaan Portugal, memiliki segala kualiti yang diperlukan pemain bertaraf tinggi dan mampu beraksi di beberapa posisi serangan.

"Dia adalah jantung dan nadi pasukan. Dengan segala hormat kepada Cristiano Ronaldo, dia menjaringkan gol mudah hasil bantuan yang diberikan pemain sayap," katanya ketika mengulas perlawanan itu menerusi program televisyen, Dawrina Ghair.

Iklan

Sementara itu, hatrik berkenaan menyaksikan Ronaldo kini mengumpul 985 gol sepanjang karier profesionalnya, sekali gus semakin hampir untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama mencapai 1,000 jaringan.

Namun, Al-Deayea turut memberi peringatan bahawa peluang Ronaldo mencapai angka keramat itu mungkin terjejas sekiranya Al-Nassr mendapatkan penyerang baharu pada jendela perpindahan Januari.

"Jika Cristiano gagal menjaringkan 15 gol sebelum jendela perpindahan musim sejuk dan kelab mendapatkan penyerang baharu, dia mungkin tidak dapat mencapai sasaran 1,000 gol," katanya.

Mengulas kemenangan ke atas Al-Kholood, Al-Deayea menyifatkan keputusan itu sudah dijangka berdasarkan kekuatan serangan Al-Nassr selain mengkritik pendekatan lawan yang terlalu bertahan pada babak kedua sehingga memberi ruang kepada pasukan tuan rumah menambah jaringan.

Kemenangan itu menyaksikan Al-Nassr kekal di tangga kedua Liga Pro Saudi dengan 28 mata selepas mengharungi 12 perlawanan manakala Ronaldo kini hanya memerlukan 15 jaringan lagi untuk mencapai angka 1,000 gol yang menjadi sasaran terbesar dalam kariernya.