RM79.12 juta laksana 44 projek pembangunan di Melaka - Ahmad Zahid

Iklan
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian Gerakan Massa Masyarakat Desa peringkat Negeri Melaka di Dewan Felcra Ramuan China hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.. Foto Bernama

ALOR GAJAH - Kerajaan memperuntukkan RM79.12 juta bagi melaksanakan 44 projek pembangunan di Melaka merangkumi 16 projek baharu dan 28 projek sambungan pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara peruntukan utama ialah bagi melaksanakan sembilan projek Jalan Luar Bandar (JALB) bernilai RM22.05 juta melibatkan satu projek baharu dan lapan projek sambungan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peruntukan turut membabitkan pelaksanaan satu projek baharu Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM6 juta, dua projek baharu di bawah Kesejahteraan Rakyat (KR) bernilai RM6 juta dan satu projek baharu di bawah Program Ameniti Sosial (PAMS) bernilai RM3 juta.

"Projek lain ialah satu projek sambungan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM2 juta; dua projek Korporat dan Pembangunan Kemahiran bernilai RM1.23 juta melibatkan satu projek baharu dan satu projek sambungan serta 15 projek di bawah Majlis Amanah Rkayat (MARA) bernilai RM24 juta melibatkan empat projek baharu dan satu projek sambungan.

Iklan

"Selain itu, tiga projek sambungan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM9.22 juta dan lapan projek di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakt (KEMAS) bernilai RM4.31 juta melibatkan empat projek baharu dan empat projek sambungan serta dua projek baharu di bawah FELCRA bernilai RM1.3 juta," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) Negeri Melaka 2026 di Dewan FELCRA Ramuan Cina, Lubok China, di sini hari ini.

Iklan

Ahmad Zahid berkata keseluruhan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh prasarana, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperluas peluang pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri berkenaan.

Beliau turut menyatakan keyakinan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan menerusi kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh dalam menerajui Melaka bagi memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata bagi pembangunan modal insan, peruntukan tambahan RM10 juta diberikan kepada Melaka TVET Centre of Excellence untuk memperkukuh latihan kemahiran dan melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata aspek kebajikan rakyat terus diberikan perhatian apabila RM468 juta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memanfaatkan 28,386 rakyat Melaka, khususnya golongan yang memerlukan bantuan dan perlindungan sosial.

"Inilah pendekatan pembangunan yang perlu terus diperkukuh, supaya kemajuan ekonomi Melaka turut membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan membawa manfaat kepada masyarakat desa," katanya. - Bernama