'Tak perlu tunggu sampai mereka berusia' – Adam Adli tegur serangan terhadap calon muda

Iklan
Adam Adli (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, pada Sabtu.

HANG TUAH JAYA - Tindakan merendah-rendahkan calon muda Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 menerusi serangan peribadi bukan pendekatan yang produktif, kata Adam Adli Abd Halim.

Menurut Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka itu, tindakan sedemikian akan menjejaskan usaha menggalakkan lebih ramai anak muda menerajui kepimpinan politik.

Iklan
Iklan

"Kita mengambil maklum beberapa serangan diterima oleh beberapa orang calon muda yang menarik perhatian masyarakat termasuk serangan berbentuk peribadi, merendah-rendahkankan dan sebagainya.

"Ini kita ambil sebagai satu sikap yang sebenarnya tidak produktif terutama sekali dalam kita membangunkan, meyakinkan dan memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin dalam masyarakat," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Sabtu.

Iklan

Adam Adli berkata, generasi muda mempunyai keupayaan untuk memimpin pada masa kini tanpa perlu menunggu sehingga mencapai usia tertentu.

"Tak perlu tunggu sampai mereka berusia baru mereka diberi peluang.

Iklan

"Sebab itu kita harap pengundi terutama pengundi muda di luar sana boleh ambil masa untuk menilai apa yang ditawarkan terutama sekali calon muda yang kita tawarkan dalam pilihan raya kali ini," katanya lagi.

Beliau berkata, PRN Melaka sepatutnya menjadi medan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat memilih kerajaan negeri berdasarkan pertimbangan masing-masing.

Pada PRN kali ini, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah yang mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) muncul sebagai calon paling muda PH.

Graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berusia 24 tahun itu diberi kepercayaan PH untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

PRN Melaka kali ini turut menyaksikan dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, manakala 14 calon lagi berusia antara 30 hingga 39 tahun.