Ahmad Zahid sokong CSA diperluas kepada parti lain termasuk pembangkang

Iklan
Ahmad Zahid (kanan) ditemui media ketika mengiringi Ab Rauf bagi proses penamaan calon PRN Melaka di Tanjung Bidara, pada Sabtu.

MASJID TANAH - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) diperluaskan kepada parti politik lain tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang.

Beliau berkata, langkah itu merupakan perkembangan baik dalam usaha memastikan semua wakil rakyat mempunyai ruang untuk menyantuni rakyat menerusi peruntukan diberikan

Iklan
Iklan

“Ini satu perkembangan yang baik dan kita menyokong CSA berkenaan.

“Pada hemat saya, apa yang dilakukan ini adalah satu langkah yang baik dan pernah dilakukan oleh kerajaan ketika wakil UMNO menjadi Perdana Menteri pada ketika itu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi proses penamaan calon N02 Tanjung Bidara di di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Ab Karim, JAPERUN Tanjung Bidara, pada Sabtu.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Ab Rauf, 65, selaku penyandang dengan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri, 36.

Iklan

Terdahulu, kerajaan menandatangani CSA bersama enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu antara lain bertujuan memperkukuh kestabilan politik serta memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan, termasuk pelaksanaan agenda pembangunan negara dan Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme berkenaan turut membuka ruang kepada penyaluran peruntukan pembangunan kawasan berdasarkan persefahaman yang dipersetujui.