PRN Melaka: Tidak salah orang muda bertanding, tapi jangan salah pilih - Ab Rauf

Iklan
Ab Rauf dan Yunazri selepas diumum calon DUN Tanjung Bidara bagi PRN Melaka.

MASJID TANAH - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengalu-alukan penyertaan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun berpandangan pengalaman penting bagi memastikan kecekapan dalam mengurus masyarakat.

Menurut calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara itu, golongan muda perlu mempunyai pengalaman yang baik supaya mampu memahami keperluan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur, termasuk warga emas.

Iklan
Iklan

“Di pentas demokrasi Melaka ini, kita mengalu-alukan siapa juga calon, sama ada muda ataupun tua.

“Bagaimanapun, dalam urusan menguruskan masyarakat, pengalaman juga menjadi panduan untuk mengukur kecekapan kita,” katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini

PRN Melaka: Calon PH disambut tarian singa, PN gegar dengan laungan takbir

Iklan

PRN Melaka: Penyokong PN, PH bersahutan dengan laungan takbir dan ‘hidup rakyat’

PRN Melaka: Ab Rauf diiringi Ahmad Zahid ke pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara

PRN Melaka: Nie Ching iringi calon PH DUN Bandar Hilir

PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput

Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Haji Ab Karim, JAPERUN Tanjung Bidara, pada Sabtu.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Ab Rauf, 65, selaku penyandang dengan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri, 36.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, gabungan pengalaman dan kecekapan mengurus masyarakat penting bagi memastikan pentadbiran yang baik.

“Saya mengalu-alukan orang muda supaya mereka dapat menimba pengalaman yang lebih baik. Tidak salah orang muda bertanding, tetapi jangan salah pilih.

“Bukan orang muda tidak boleh, tetapi mereka mesti mempunyai pengalaman yang baik supaya dapat mengurus masyarakat daripada pelbagai lapisan umur, daripada golongan muda sehinggalah warga emas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf yang memperoleh nombor dua pada kertas undi turut mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kelancaran proses penamaan calon.

Beliau menyifatkan urusan pendaftaran pencalonan berjalan dengan teratur, malah proses berkenaan selesai mengikut masa ditetapkan.

Pada PRN Melaka 2021, kerusi DUN Tanjung Bidara dimenangi Ab Rauf dengan majoriti 364 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 3,559 undi, menewaskan calon PN-Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 3,195 undi, manakala calon PH-PKR, Zainal Hassan memperoleh 489 undi.