CSA: UMNO tidak boleh hanya ambil kredit, perlu tanggungjawab dasar kerajaan – Tun Faisal

Iklan
Tun Faisal

SHAH ALAM - UMNO tidak boleh sekadar mengambil manfaat daripada dasar dan kejayaan Kerajaan Madani, sebaliknya perlu turut memikul tanggungjawab terhadap setiap keputusan serta pelaksanaan dasar kerajaan, termasuk yang tidak memihak kepada rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sebagai parti yang berada dalam Kerajaan Madani, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyedari Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) adalah suatu perkara yang baik dan patut diperluaskan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, CSA tidak sama seperti menjadi sebahagian daripada kerajaan sebagaimana kedudukan UMNO yang merupakan salah satu parti dalam Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, UMNO perlu bertanggungjawab secara bersama terhadap segala dasar, pelaksanaan dasar serta program kerajaan, sama ada yang baik mahupun yang tidak baik kepada rakyat.

Iklan

"UMNO tidak boleh hanya mengambil mileage atas perkara yang baik dan menggunakan segala manfaat, tetapi tidak mahu bertanggungjawab dan 'pass the blame' kepada Perdana Menteri dan PH.

"Sedangkan UMNO juga sama-sama terlibat merangka dasar, menggubal undang-undang, melaksanakan dasar-dasar dan menguatkuasakan undang-undang dalam negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mencadangkan CSA diperluas kepada parti politik lain.

Menurut Pengerusi BN itu, kerjasama yang dimeterai beberapa parti di peringkat pusat merupakan perkembangan positif dan wajar diperkukuh tanpa mengira sama ada parti berkenaan berada dalam kerajaan atau pembangkang.

Beliau juga menyifatkan langkah itu sebagai satu perkembangan baik dalam usaha membolehkan parti politik bekerjasama menangani isu dan permasalahan rakyat.