HANG TUAH JAYA - Laungan takbir dan ‘hidup rakyat’ bersahutan antara penyokong Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang ditempatkan bersebelahan di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di sini pada Sabtu.
Kedudukan penyokong kedua-dua gabungan yang dipisahkan hanya dengan ruang penempatan itu menjadikan suasana di pusat penamaan calon lebih meriah, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang hadir menyaksikan proses berkenaan.
Tumpuan turut terarah kepada penyandang kerusi berkenaan sejak 2018, Datuk Seri Adly Zahari, 55, yang tiba bagi menyerahkan borang pencalonan mewakili PH.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan diiringi Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu bersama rombongan penyokong di Dewan Tun Ali, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Sementara itu, calon Pas yang mewakili PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42, turut hadir bersama rombongan yang diiringi Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ridzuan merupakan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Bendahari Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Malaysia.
Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr Aliza Che Amran, 46, pula tiba dengan rombongan lebih kecil, namun tetap disambut meriah dengan paluan kompang.
Aliza merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Persaingan di kerusi itu turut menyaksikan penyertaan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin, 65, yang juga seorang kontraktor.
Seramai 35,359 pemilih berdaftar di DUN Bukit Katil bakal menentukan wakil rakyat kawasan berkenaan pada PRN kali ini.
Pada PRN Melaka 2021, Adly mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 6,805 undi dengan majoriti 1,057 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Hasnoor Sidang Husin yang memperoleh 5,748 undi, calon PN, Muhammad Al Afiz Yahya (3,715 undi) dan calon Bebas, Abdul Hamid Mustapah (109 undi).
PRN Melaka kali ini menyaksikan pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian pada 14 November ini.