SITIAWAN - Polis berjaya menumpaskan sindiket yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan pacuan empat roda (4X4) di Perak dan Kuala Lumpur tiga individu ditahan di Kampung Koh di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan susulan laporan kehilangan sebuah Toyota Hilux di Taman Mas 2, Sitiawan pada 26 Oktober lalu.
Menurutnya, laporan berhubung kehilangan kenderaan itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira jam 10.06 pagi pada hari berkenaan.
"Polis turut merampas sebuah alat pembaca kunci kereta yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kenderaan serta beberapa barangan lain," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Hasbullah berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terbabit dalam lapan kes kecurian kenderaan menggunakan modus operandi sama dengan menyasarkan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau berkata, daripada jumlah itu empat kes dilaporkan berlaku di Perak manakala empat lagi di Kuala Lumpur.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bermula 28 Oktober hingga 2 November ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi WhatsApp Hotline di talian 017-682 8005 atau mana-mana balai polis berhampiran.