Mereka di bandar tak dibenarkan pulang ke kampung: Ismail Sabri

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama

PUTRAJAYA – Orang ramai yang berada di bandar tidak dibenarkan pulang menyambut Ramadan di kampung.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai salah faham apabila beliau mengumumkan bahawa mereka yang pulang ke kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan dan berkeinginan untuk pulang semula ke bandar diminta untuk melaporkan kepada balai polis.

Iklan
Iklan

"Mereka yang ada di bandar dan nak pulang ke kampung memang tak dibenarkan sejak daripada awal lagi (sewaktu PKP dilaksanakan). Saya tahu ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga tetapi memang kita tak benarkan.

"Jangan pula ada yang melaporkan kepada balai polis kata mahu pulang ke kampung. Apa yang saya sebut semalam ialah mereka yang terperangkap di kampung dan mahu pulang ke bandar. Itu pun kita cuma minta mereka daftar terlebih dahulu dan keputusan akan dimaklumkan kemudian,” katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri- menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, buat masa sekarang, mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang semula ke bandar hanya dibenarkan untuk membuat laporan kepada balai polis terdekat pada 25 April ini.

"Ia bukan bermakna bila buat laporan maka mereka terus boleh bergerak pulang. Ini kerana kami mahu mendapatkan maklumat jelas mengenai berapa jumlah dari kampung yang akan pulang ke bandar.

Iklan

"Maklumat yang diterima ini akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) paling awal 1 Mei untuk mereka bincang. Selepas itu baharu kita tahu sama ada dibenarkan pulang atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, situasi kepulangan mereka di kampung ke bandar dengan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) berbeza kerana pelajar IPT akan dibawa pulang dengan bas dan status kesihatan mereka di kampus dipantau berbanding mereka yang pulang ke kampung dan mungkin mempunyai pergerakan.

"Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) dalam PKP ketika ini hanya membenarkan seorang pemandu bagi satu kenderaan. Justeru dalam perkara ini PDRM, KKM dan MKN akan membuat kajian menyeluruh sama ada membenarkan atau tidak,” katanya.