CSA bukan perkara baharu dalam politik negara - Fuziah

Iklan
Fuziah

SHAH ALAM - Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) bukan perkara baharu dalam landskap politik negara berikutan Pakatan Harapan (PH) pernah melaksanakan kerjasama politik pada 2021.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan ketika itu bagi memastikan kestabilan politik serta kelancaran pentadbiran negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerjasama politik seperti itu merupakan situasi menang-menang kepada pihak yang terlibat demi kepentingan rakyat.

"Pihak yang menandatangani perjanjian mendapat manfaat, manakala kerajaan memperoleh kestabilan untuk melaksanakan agenda reformasi serta pembangunan negara.

Iklan

"Namun, pemenang paling besar mestilah rakyat, kerana akhirnya setiap persefahaman politik perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Fuziah memaklumkan PH pernah menandatangani MoU pada 2021 demi kestabilan politik. Foto FB Fuziah Salleh

Iklan

Seramai enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeterai CSA dengan Kerajaan Madani bersama tujuh anggota Parlimen lain dalam satu pertemuan di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Pemeteraian memorandum tersebut melibatkan kerajaan Persekutuan yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh diberikan menerusi CSA, sama seperti perjanjian yang dimeterai dengan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi ketua pembangkang.