SHAH ALAM– Kerajaan digesa menggubal Akta Udara Bersih yang merangkumi peruntukan tegas berkaitan pencemaran rentas sempadan susulan langkah Singapura memperkukuh undang-undang jerebunya.
Gesaan itu dibuat ketika Singapura mengambil langkah menangani kelemahan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan kesukaran mendapatkan bukti dan kerjasama syarikat merentasi sempadan negara.
Wakil Negara Interim Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, Malaysia seharusnya mengambil langkah sama bagi memastikan syarikat yang terbukti bertanggungjawab terhadap pencemaran rentas sempadan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Jika Singapura boleh mengambil langkah untuk menangani cabaran tersebut, mengapa Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama?.
“Jerebu tidak mengenal sempadan. Akauntabiliti korporat juga tidak seharusnya terhenti di sempadan negara,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Singapura meneliti langkah memperkukuh undang-undang jerebu rentas sempadan bagi mengatasi kelemahan penguatkuasaan, termasuk kesukaran mendapatkan bukti mencukupi dan memastikan kerjasama syarikat yang beroperasi di luar negara.
Namun, mereka menghadapi cabaran untuk menguatkuasakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan iaitu mendapatkan bukti yang mencukupi dan memastikan kerjasama daripada syarikat yang beroperasi di luar negara.
Dalam pada itu, Kiah Chun berkata, kerajaan perlu mendedahkan bukti dan hasil penilaian yang menjadi asas kepada pendirian bahawa tiada bukti konklusif mengaitkan syarikat Malaysia dengan kebakaran di Indonesia.
“Ketelusan dan penelitian bebas amat penting untuk memastikan fakta sebenar dapat dikenal pasti, di samping melindungi syarikat yang menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab,” ujarnya.
Laporan bersama Greenpeace dan Pantau Gambut yang diterbitkan pada 5 Oktober lalu bertajuk 'When Clean Air Is Sacrificed for Global Commodities' mengenal pasti 20 entiti konsesi perhutanan dan perladangan kelapa sawit yang dikaitkan dengan titik sumber jerebu di Indonesia, termasuk konsesi yang mempunyai hubungan dengan kepentingan perniagaan Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, dapatan laporan itu tidak membuktikan mana-mana syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran berkenaan dan memerlukan penelitian lanjut secara bebas.
NGO itu menegaskan penggubalan Akta Udara Bersih dengan peruntukan tegas berkaitan pencemaran rentas sempadan bukan bertujuan menyekat perniagaan, sebaliknya memastikan pihak yang terbukti bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.