Semenanjung Korea di ambang perang?

Iklan
Seorang anggota tentera Korea Utara berada di atas meriam howitzer bergerak sendiri berkaliber 122 milimeter yang dikerahkan di sempadan antara kedua-dua negara. Foto Agensi

GIMPO - Penempatan meriam artileri dengan laras menghala ke selatan di kawasan sempadan membimbangkan ketika ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak.

Seoul dan Pyongyang saling berbalas kecaman serta memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraan di sepanjang Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan mereka susulan insiden letupan periuk api di kawasan itu yang mencederakan tiga anggota tentera Korea Selatan pada September lalu.

Iklan
Iklan

Seoulmenuntut Pyongyang memohon maaf, manakala Korea Utara menuduh Korea Selatan sengaja mereka kejadian tersebut.

Siasatan bersama tentera Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati letupan itu berpunca daripada periuk api yang dipasang Korea Utara di selatan DMZ yang secara jelas melanggar Perjanjian Gencatan Senjata Perang Korea.

Iklan

Permainan Call Of Duty: Modern Warfare 4 itu menggambarkan serangan Pyongyang termasuk pertempuran di Seoul. Foto Agensi

Pada Khamis lalu, Kim Yo Jong, adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengumumkan bahawa Pyongyang akan memasang semula pembesar suara bagi menyiarkan propaganda anti-Korea Selatan di sepanjang sempadan dalam tempoh beberapa hari.

Iklan

Beliau turut memberi amaran bahawa langkah tindak balas baharu yang tidak diperincikan sedia dilaksanakan.

Sehari selepas itu, media di Seoul merakamkan imej sebuah kenderaan berperisai berhampiran sempadan. Menjelang Isnin, jumlahnya meningkat kepada tiga buah.

Penganalisis mengenal pasti senjata berkenaan sebagai meriam howitzer bergerak sendiri, M-1981 berkaliber 122 milimeter iaitu sistem artileri lama Korea Utara yang dipercayai mula digunakan pada akhir 1970-an.

Had maksimum jangkauan tembakan meriam itu adalah kira-kira 24 kilometer yang mampu mencapai kawasan seperti Gimpo.

Bagaimanapun, pakar ke-tenteraan dari Institut Kajian Dasar Asan di Seoul, Yang Uk berkata, senjata itu tidak secanggih sistem artileri yang lebih moden.

"Saya melihat tindakan provokasi mereka lebih kepada pertunjukan kekuatan ketenteraan berbanding peningkatan ketara dalam keupayaan tempur,” katanya.

Menurut Uk, kedudukan senjata itu yang mudah dilihat menunjukkan ia berkemungkinan sengaja ditempatkan di situ bagi menarik perhatian meskipun tentera Korea Selatan menyatakan sistem artileri lama itu tidak dianggap sebagai ancaman baharu.

Call of Duty cetus perdebatan

Permainan video popular, Call of Duty yang memaparkan senario perang baharu di Semenanjung Korea mencetuskan perdebatan politik di Seoul di tengah-tengah ancaman keselamatan dan hubungan antara kedua-dua negara yang kian meruncing.

Permainan Call Of Duty: Modern Warfare 4 itu menggambarkan serangan Pyongyang termasuk pertempuran di Seoul.

Ketegangan masih berterusan akibat pertikaian sempadan, aktiviti ketenteraan dan program senjata nuklear Korea Utara meskipun konflik dihentikan lebih tujuh dekad lalu menerusi perjanjian gencatan senjata pada 1953. Foto Agensi

Ahli politik pembangkang turut mengkritik pendekatan 'lembut' Presiden Lee Jae Myung terhadap Korea Utara dan menggesa beliau melihat dengan jelas ancaman ketenteraan menerusi permainan itu.

Menteri Kebudayaan, Choi Hwi-young bagaimanapun mempertahankan kebebasan berkarya dengan menyifatkan permainan video itu sebagai satu bentuk ekspresi kreatif.

Parti pemerintah berhujah bahawa karya fiksyen sama ada filem atau permainan video perlu diberikan kebebasan selagi tidak melanggar undang-undang.

Beberapa ahli politik daripada parti pemerintah juga mengambil pendekatan lebih santai terhadap kontroversi berkenaan dengan menegaskan bahawa permainan video tidak seharusnya dikawal hanya kerana kandungannya berkaitan konflik ketenteraan.

Perang Korea yang berlangsung dari 1950 hingga 1953 berakhir dengan perjanjian gencatan senjata tanpa sebarang perjanjian damai, menyebabkan kedua-dua negara secara teknikal masih berada dalam 'situasi perang'. - Agensi