JAKARTA – Indonesia memberi amaran bahawa Singapura turut berisiko mengalami gangguan internet besar-besaran sekiranya sambungan kabel dasar laut yang menghubungkan kedua-dua negara terputus atau sengaja dipotong.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid berkata, sebahagian besar laluan Sistem Komunikasi Kabel Laut (SKKL) yang bersambung ke Singapura sebenarnya merentasi perairan Indonesia.
Menurutnya, sebarang gangguan terhadap infrastruktur berkenaan bukan sahaja menjejaskan Indonesia, malah berpotensi melumpuhkan sebahagian besar kapasiti sambungan internet Singapura.
“Kita tidak perlu berasa marah. SKKL yang mendarat di Singapura bukan muncul secara tiba-tiba. Sebahagian besar laluannya melalui perairan Indonesia.
“Jika terputus atau sengaja dipotong, 80 peratus kapasiti sambungan internet Singapura juga berisiko lumpuh,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap sindiran bekas ahli Parlimen Singapura, Calvin Cheng yang membangkitkan kebergantungan Indonesia terhadap infrastruktur internet negara jirannya.
Pada Ahad lalu, Calvin memuat naik infografik bertajuk Indonesia's Internet Dependence on Singapore menerusi platform X yang mendakwa kira-kira 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia melalui Singapura.
Infografik itu turut menggambarkan Singapura sebagai pintu masuk utama sambungan internet global Indonesia menerusi pusat data, perkhidmatan pengkomputeran awan dan kabel dasar laut.
Calvin kemudian mencetuskan perhatian apabila menyertakan pertanyaan ringkas, “Potong?” pada hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya menjelaskan bahawa Singapura tidak akan mengambil tindakan sedemikian.
“Kami masyarakat bertamadun yang mematuhi undang-undang. Sudah tentu kami tidak akan berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Meutya turut mengingatkan bahawa Indonesia merupakan pasaran digital penting kepada pelabur teknologi global yang beroperasi di Singapura.
Beliau berkata, jumlah penduduk Indonesia adalah 47 kali ganda lebih besar berbanding Singapura, dengan kira-kira 267 juta penduduknya mempunyai akses internet.
“Tanpa angka ini, pelabur syarikat teknologi global berpotensi meninggalkan Singapura,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa infrastruktur digital perlu dipelihara sebagai kepentingan bersama kerana sebarang gangguan bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-dua negara, malah terhadap sambungan internet global.
“Kita tidak boleh berfikiran sempit. Infrastruktur digital ialah sektor yang perlu dijaga bersama, bukan hanya untuk kepentingan kedua-dua negara tetapi juga sambungan global,” katanya.
Pertikaman lidah itu berlaku ketika hubungan ekonomi kedua-dua negara menjadi perhatian susulan keputusan Jakarta mengurangkan eksport gas asli ke Singapura bagi mengutamakan keperluan domestik. - Agensi