PN mohon kebenaran mulakan prosiding komital terhadap RoS

Iklan
PN memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap RoS berhubung tindakan membatalkan pendaftaran gabungan itu ketika permohonan berkaitan masih belum diputuskan mahkamah.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung tindakan membatalkan pendaftaran gabungan itu ketika permohonan berkaitan masih belum diputuskan mahkamah.

Berdasarkan dokumen yang difailkan pada Selasa, permohonan itu dibuat secara ex parte atau sebelah pihak.

Iklan
Iklan

Lima pemimpin parti komponen PN diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selaku pemohon pertama.

Turut menjadi pemohon ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N. Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.

Iklan

Dalam permohonan tersebut, Ketua Pengarah RoS, Datuk Muhammad Zulfiqar Ahmad, dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dinamakan sebagai responden.

Pemohon mendakwa tindakan membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu telah mengganggu pentadbiran keadilan kerana keputusan itu dibuat dua hari sebelum Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan penggantungan pada 22 Oktober.

Iklan

Menurut mereka, permohonan penangguhan itu antara lain bertujuan menghalang RoS daripada membatalkan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman.

“RoS mengetahui mengenai prosiding berkenaan malah telah menerima surat bertarikh 14 Oktober yang meminta supaya sebarang tindakan membatalkan pendaftaran PN ditangguhkan sehingga mahkamah memutuskan permohonan tersebut.

“Bagaimanapun, perintah pembatalan pendaftaran PN tetap dikeluarkan pada 20 Oktober, sehari selepas hujahan bertulis responden difailkan,” menurut dokumen berkenaan.

Pemohon turut mendakwa tiada alasan diberikan bagi menjelaskan keperluan tindakan segera tersebut sebelum mahkamah mendengar permohonan penggantungan.

Mereka juga mendakwa tindakan itu digunakan oleh responden untuk berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman dan penangguhan berkenaan telah menjadi akademik.

Menurut pemohon, tindakan responden pertama itu merupakan penghinaan terhadap mahkamah kerana dilakukan ketika prosiding berkaitan masih menunggu keputusan.

“Responden mengetahui kewujudan prosiding tersebut dan isu yang telah dikemukakan kepada mahkamah, namun tetap bertindak dengan cara yang didakwa mengganggu dan mendahului pentadbiran keadilan.

“Ia seolah-olah merampas persoalan yang telah ditetapkan untuk diputuskan oleh mahkamah serta cuba menjadikan sebarang perintah yang bakal dikeluarkan tidak lagi berkesan,” menurut permohonan itu.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran gabungan tersebut.

Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian selepas mendapati kemudaratan yang lebih besar akan ditanggung PN sekiranya penggantungan pelaksanaan tidak dibenarkan.

Mahkamah turut membenarkan penggantungan notis terdahulu bertarikh 23 September yang melibatkan penggantungan semua aktiviti PN sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan.

Sebelum itu, RoS pada 24 September lalu mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Lima pemimpin komponen PN kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan tersebut.

PN mendakwa notis yang dikeluarkan RoS memberi kesan langsung kepada parti-parti di bawah gabungan itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut gabungan berkenaan, kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis terbabit sebelum hari penamaan calon boleh menjejaskan keupayaan mereka bertanding menggunakan nama dan logo PN.

Bagaimanapun, pada 20 Oktober lalu, RoS mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan serta representasi yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

RoS memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti keseluruhan dokumen dan maklum balas yang diterima daripada PN pada 12 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon dan 10 November sebagai hari pengundian awal.