KUALA LUMPUR - Sebuah kediaman mewah dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pelaburan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar Jalan San Peng, Pudu di sini pada Selasa.
Serbuan menerusi Operasi Khas kira-kira jam 11.45 pagi itu membawa kepada penahanan 20 warga asing terdiri daripada 10 lelaki warga Taiwan, China dan India serta enam lelaki dan empat wanita warga Thailand dan India, berusia antara 23 hingga 43 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan selama dua minggu berdasarkan maklumat awam.
Menurutnya, empat unit kediaman yang dipercayai digunakan sindiket itu diperiksa dalam operasi berkenaan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan premis kediaman mewah yang disewa sebagai pusat operasi bagi menjalankan kegiatan penipuan pelaburan untuk mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, siasatan mendapati pekerja warga asing terbabit tidak dibenarkan keluar secara bebas, manakala bekalan makanan dihantar dari luar ke premis melalui perkhidmatan penghantaran makanan.
"Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu, bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
"Pemeriksaan turut menemukan pelbagai jenis ubat-ubatan di salah satu unit kediaman yang dipercayai diimport dari luar negara," katanya.
Menurutnya, serbuan turut menyita 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba, lima penghala internet (router), empat walkie-talkie, kad akses dan skrip penipuan dalam bahasa Thailand.
"Selain itu, rampasan turut dilakukan melibatkan empat pasport Taiwan, empat pasport China, tiga pasport Thailand serta wang tunai RM5,370.
"Turut disita mata wang asing membabitkan 1,400 Myanmar Kyat, 36,000 Kemboja Riel, 4.28 juta Vietnam Dong dan 31,000 Dolar Taiwan," katanya.
Zakaria berkata, tiga lelaki warga China, India dan Taiwan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
"Tiga lelaki warga China pula disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama, manakala tiga lelaki dan seorang wanita warga India serta tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c).
"Warga asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.