Polis tahan 9 individu disyaki terlibat kes pecah kubur di Miri

Iklan
Saifullizan (kanan) bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini. - Foto: Bernama

KUCHING - Polis menahan sembilan lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kubur di Miri menerusi operasi khas dari 11 hingga 17 Oktober.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, suspek berusia 16 hingga 73 tahun dengan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Iklan
Iklan

"Dua daripada tiga suspek itu juga baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman bagi kesalahan sama dan dipercayai merekrut rakan lain untuk terlibat memecah kubur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Saifullizan berkata, antara barangan dirampas bagi membantu siasatan ialah tukul besi, pemutar skru, pelbagai barang kemas, cincin, anting-anting, rantai, gelang tangan serta duit syiling lama.

Iklan

Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu bermula 6 Ogos.

"Polis percaya 15 laporan kes pecah kubur di daerah Miri berjaya diselesaikan,” katanya.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan. - Bernama