SEREMBAN - Pemecatan dua Undang yang dipertikaikan telah diwartakan oleh kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut dokumen rasmi bertarikh 23 Oktober itu, Datuk Mubarak Thahak telah diberhentikan daripada jawatan dan gelaran sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-10 berkuat kuasa 13 Mei 2025, manakala Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 pada 31 Mei 2023.
Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin dihubungi Sinar Harian mengesahkan dokumen pewartaan berkenaan.
Beliau turut mengesahkan pewartaan pemecatan Datuk Badarudin Abdul Khalid sebagai Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang berperanan sebagai pengimbang kuasa terhadap Undang di Luak Sungei Ujong.
Dokumen terbabit menyatakan pemecatan tersebut dibuat mengikut hukum adat yang memenuhi syarat kebulatan luak masing-masing.
Selain itu, warta terbabit turut mengiktiraf pemasyuharan Datuk Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong baharu dan Datuk Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau baharu.
Pengiktirafan Hassan sekaligus mengetepikan kedudukan Abdul Rahim Yasin yang merupakan barisan Undang Yang Empat yang mengumumkan pemecatan Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Dalam dokumen itu dimaklumkan bahawa pewartaan tersebut adalah dengan to perintah Tuanku Muhriz.
Perkembangan itu menjadikan Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah, satu-satunya Undang yang tidak sehaluan dengan Tuanku Muhriz dan kedudukannya tidak dipertikaikan.